Pengebom Uighur dibicara

Pengebom Uighur dibicara

BANGKOK, 15 Nov – Perbicaraan dua lelaki Uighur yang lama tertangguh, yang dituduh melakukan pengeboman di tapak suci Bangkok akhirnya dimulakan hari ini ketika mahkamah tentera membenarkan Beijing untuk menyediakan penterjemah bagi suspek meskipun adanya bantahan daripada mereka.

Yusufu Mieraili dan Bilal Mohammed dituduh menanam bom di tapak suci Hindu di nadi komersial Bangkok pada Ogos 2015 yang mengakibatkan 20 orang maut, terutamanya pelancong etnik China.

Letupan itu muncul setelah berminggu-minggu junta Thailand menggunakan kekerasan untuk memulangkan 109 puak Uighur ke China, di mana aktivis hak asasi berkata minoriti Islam itu berdepan penindasan agama dan budaya.

Kejadian itu telah mencetuskan spekulasi yang serangan itu adalah sebahagian daripada plot balas dendam ke atas sebuah negara yang telah menjadi hab transit utama bagi Uighur ketika pemimpin tentera Thailand semakin mesra dengan Beijing.

Pihak berkuasa Thailand telah menolak teori itu mengatakan para penyerangnya adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludupan manusia yang marah dengan tindakan keras baru-baru ini, satu motif yang disangkal penganalisis.

Perbicaraan bagi dua lelaki, yang telah ditahan dalam penjara tentera selama kira-kira setahun, telah ditangguhkan beberapa kali ketika mahkamah bergelut untuk mencari penterjemah sesuai dan menolak seorang yang telah disediakan oleh pihak pembela.

Perbicaraan itu akhirnya bermula hari ini selepas hakim menerima dua penterjemah yang disediakan oleh kedutaan China dan tidak mengendahkan bantahan daripada defendan.

“Saya tidak mahu penterjemah dari China kerana China tidak menghormati puak Uighur,” kata Mohammed menerusi salah seorang penterjemah.

“Saya mahu penterjemah yang boleh bercakap Uighur dari Amerika, Kanada, Australia atau negara lain,” tambah Mieraili.

Namun hakim tentera hari ini menolak kebimbangan defendan dengan mengatakan penterjemah ini adalah ‘bersesuaian kerana mereka hanya melakukan penterjemahan’ dan ‘bercakap bahasa yang sama seperti defendan’.

Saksi pertama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan hari ini adalah seorang pegawai polis yang awal tiba di tempat kejadian bom meledak di tapak suci itu, mengakibatkan serpihan dan bahagian anggota badan bertaburan. – AFP