Pengeboman IS membunuh lebih daripada 150 orang

Pengeboman IS membunuh lebih daripada 150 orang

SAYYIDA ZEINAB, Syria, 22 Feb (AFP) – Para pejuang jihad telah mengakui melancarkan siri-siri pengeboman berani mati berhampiran tempat suci Syiah berhampiran bandar Syria di Homs dan yang telah membunuh lebih 150 orang semalam, ketika Washington dan Moscow berusaha bagi mendapatkan gencatan senjata.Kumpulan IS berkata ia adalah dalang pembunuhan beramai-ramai itu.

Setiausaha Negara AS John Kerry berkata perjanjian sementara itu telah dicapai dengan syarat gencatan senjata dalam konflik kejam lima tahun di Syria, tetapi pertumpahan darah meningkat di negara itu.

Berhampiran Damsyik, pengeboman kereta disusuli dengan dua serangan berani mati berturut-turut berlaku di kawasan tempat suci Syiah, Sayyida Zeinab dan membunuh 96 orang, menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, yang memetik sumber polis, melaporkan 178 orang termasuklah kanak-kanak, adalah antara yang tercedera.

Seorang pemberita AFP berkata letupan berlaku kira-kira 400 meter jauhnya dari tempat suci Syiah, yang di situ terletaknya kubur cucu perempuan Nabi Muhammad SAW. Serangan bulan Januari di kawasan sama – IS mengakui melancarkannya yang membunuh 70 orang.

Pemerhati itu juga melaporkan dua bom kereta telah membunuh kira-kira 59 orang dan mencederakan berbelas-belas lagi di daerah pro rejim, Al-Zahraa di bandar tengah, Homs.

IS berkata di online bahawa dua pengebom berani mati menyerang di Sayyida Zeinab dan dua lagi memandu kereta yang membawa bom ke arah orang ramai di Homs.

Utusan khas PBB bagi Syria, Staffan de Mistura ‘sekeras-kerasnya menyelar’ serangan itu, menurut jurucakapnya dalam satu kenyataan.

Rakaman dari Homs yang ditayangkan di televisyen kerajaan menunjukkan para pekerja kecemasan membawa mayat yang rentung di atas pengusung melintasi kedai-kedai yang musnah dan beberapa buah kereta dan bas mini yang rosak.