Pengecualian dipertimbang

Pengecualian dipertimbang

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersedia menimbangkan pengecualian bagi perniagaan di lapangan terbang, hotel, rumah-rumah sakit dan perniagaan-perniagaan lain yang diperlukan orang ramai untuk beroperasi melebihi jam 12 malam khususnya pada musim-musim perayaan dan bulan Ramadhan.

Manakala perniagaan yang telah diberikan kebenaran pada masa ini untuk berniaga selepas 12 tengah malam boleh meneruskannya mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menambah, ia mengambil berat kepentingan dan keperluan kedua-dua belah pihak iaitu peniaga dan orang ramai, lebih-lebih lagi dalam usaha menjadikan negara ini mempunyai suasana urus niaga yang sihat dan pro-business.

Kementerian juga menjelaskan ia menghargai reaksi berbelah-bahagi orang ramai terhadap kandungan Surat Pemberitahuan Jabatan Bandaran Seri Begawan bertarikh 14 Mei 2015 lalu, mengenai Masa Berniaga Tidak Dibenarkan Melebihi Jam 12 malam.

Menurut kenyataan itu lagi, peraturan waktu berniaga sehingga tengah malam bukanlah peraturan baru kerana peraturan yang mengawal waktu berniaga yang berkuat kuasa pada masa ini adalah bermula dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Walau bagaimanapun bagi kemudahan dan kepentingan peniaga-peniaga dan orang ramai, terdapat beberapa buah kedai telah diberikan kebenaran untuk berniaga sehingga 12 tengah malam.

Kedai-kedai tersebut adalah seperti kedai-kedai runcit dan kedai-kedai makan. Kebenaran pula mengambil kira kriteria-kriteria seperti bersesuaian dan keadaan tempat, keselamatan orang ramai dan lalu lintas serta kawasan letak kereta yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, bilangan kedai-kedai yang beroperasi selepas 12.00 tengah malam tidaklah banyak, begitu juga jumlah pelanggan kecuali dalam musim-musim perayaan dan waktu-waktu tertentu seperti dalam bulan Ramadhan.

Arahan penutupan kedai-kedai runcit dan kedai-kedai makan yang dikeluarkan baru-baru ini menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai dan peniaga.

Sebahagiannya menyahut baik arahan baru itu, namun sebahagian lagi menyeru supaya dipertimbangkan lagi langkah bagi membolehkan mereka berniaga selepas 12 malam.

Peniaga-peniaga misalnya mencadangkan agar diberikan alternatif untuk terus berniaga selepas jam 12 tengah malam kerana ada kalangan pelanggan mereka merupakan pekerja yang bertugas pada waktu malam dan pengunjung tetap.

Mereka juga menyeru pihak bandaran meneliti semula arahan tersebut meskipun terpaksa membayar waktu perniagaan kepada pihak berkenaan bagi memastikan pelanggan diberikan keutamaan.

Surat Pemberitahuan pada 14 Mei 2015 dikeluarkan Jabatan Bandaran menyatakan kebenaran berniaga sehingga jam 12 malam yang diberikan kepada beberapa buah kedai termasuk kedai makan sebelum ini dibatalkan.

Surat pemberitahuan menekankan jika didapati kedai-kedai dan kedai makan masih beroperasi melebihi jam 12 malam, tindakan-tindakan tertentu akan diambil seperti mengeluarkan notis/surat penggantungan mahupun pembatalan lesen perniagaan.

Larangan itu juga termasuklah gerai-gerai Nasi Katok dan akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.

ARTIKEL YANG SAMA