Pengedar dadah ditahan di pedalaman S’wak

Pengedar dadah ditahan di pedalaman S’wak

KUCHING, 12 Feb – Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan daripada etnik Kenyah yang disyaki pengedar dadah, selepas memeriksa sebuah kereta dalam rondaan mencegah jenayah di simpang Uma Belor, Sungai Asap, di daerah Belaga, lebih 750km dari sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata antara yang dirampas satu laras senapang patah buatan sendiri, satu kelopak mengandungi 11 peluru jenis .22, dua peluru senapang patah, sebilah keris, 10 paket dipercayai syabu dan 27 straw juga dipercayai syabu.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 32 hingga 40 tahun itu ditahan selepas dua anggota peronda unit MPV mengesan mereka dalam sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di simpang berkenaan pada 10 malam tadi. Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau yang mengucapkan tahniah kepada dua anggota MPV yang membuat tangkapan itu berkata pasukan Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan membuat siasatan susulan mengenai kes rampasan senjata dan peluru berkenaan.

Katanya polis percaya ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam kegiatan mengedar dadah ke kawasan pedalaman di Sarawak. – Bernama