Pengeksport perlu bijak tangani penyusutan ringgit

Pengeksport perlu bijak tangani penyusutan ringgit

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pengeksport Malaysia disaran mempertimbangkan untuk mengunci paras semasa ringgit berbanding dolar AS, paras yang dikatakan terbaik untuk eksport, dengan kaedah lindung nilai, selain meningkatkan produktiviti dengan menggunakan bahan mentah tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata pengeksport Malaysia yang menerima pendapatan dalam nilai dolar AS kini menikmati laba daripada penurunan ringgit, namun penyusutan mendadak ringgit ini bersifat sementara, justeru langkah melindungi nilai untuk mengekalkan paras terbaik hasil eksport adalah wajar.

“Kaedah lindung nilai melibatkan sedikit kos, jadi berbincanglah dengan bank-bank dan institusi kewangan. “Kita juga cadangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan lagi daya pengeluaran supaya produktiviti dapat dipertingkatkan dan kita lebih kompetitif,” katanya.

Dzulkifli turut menyarankan PKS serta pengeksport Malaysia menggunakan lebih banyak bahan mentah tempatan bagi menjimatkan kos pengeluaran dan mengurangkan kerugian kadar pertukaran mata wang asing.

“Bahan mentah tempatan kini berkualiti malah sedia untuk dieksport ke pasaran global,” kata beliau ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Ringgit dilapor susut ke paras terendah dalam tempoh 16 tahun berbanding dolar AS pada bulan ini, melepasi paras tambatan 3.8000 yang dikenakan pada 1998 selepas nilai mata wang tempatan merudum semasa krisis kewangan Asia pada 1997.

Pedagang pasaran mata wang berkata keadaan turun naik dan penyusutan ringgit berbanding dolar AS kebelakangan ini disebabkan oleh krisis hutang Greece, jangkaan peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat serta isu yang melanda syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd.

Dzulkifli juga menasihati PKS menangguhkan sementara pembelian barangan modal seperti mesin dan jentera dari luar negara sehingga ringgit kembali stabil untuk mengelak kos import yang tinggi.

Beliau turut menggesa syarikat Malaysia mempertimbangkan untuk menggunakan kemudahan penjelasan mata wang Renminbi (RMB) yang kini ditawarkan di negara ini bagi memudahkan urus niaga perdagangan rentas sempadan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA