Pengeksport tempatan perlu sedia hadapi TPPA

Pengeksport tempatan perlu sedia hadapi TPPA

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pengeksport tempatan perlu melengkapkan diri mereka sendiri sebaiknya, terutamanya dengan kapasiti pengeluaran yang mencukupi, untuk menampung permintaan dan peluang amat besar yang bakal ditawarkan daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pengarah Seksyen Gaya Hidup Bahagian Penggalakan Perdagangan dan Perkhidmatan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata kekangan kapasiti sentiasa menjadi masalah terbesar yang dihadapi pengeksport tempatan yang menyebabkan ramai daripada mereka menjadi tidak aktif dalam industri.

“Ketika ini, kira-kira 15,000 pengeksport mendaftar dengan MATRADE tetapi yang aktif hanya kira-kira 5,000 syarikat,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Bagi membantu mereka, MATRADE meningkatkan penggalakan eksport dan program pembinaan kapasiti untuk memastikan pengeksport tempatan dilengkapi dengan sebaiknya bagi pasaran baharu.

“MATRADE memulakan beberapa inisiatif untuk menyediakan persediaan kepada pengeksport kita terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka akan lebih bersedia dan kompetitif bagi pasaran TPP,” kata Abu Bakar. – Bernama

Antara usaha itu termasuklah menyediakan program penggalakan yang lebih disasarkan dan khusus di negara-negara TPP, mengadakan lebih banyak seminar dan memberi taklimat mengenai standard dan syarat-syarat import yang ditetapkan negara-negara TPP serta menganjurkan lebih banyak program capaian bersama dengan rakan kongsi perniagaan mereka.

“Kita mahu memastikan pengeksport kita bersedia dalam tempoh dua tahun ini sebelum perjanjian itu berkuat kuasa sepenuhnya.

Kita perlu mula melakukannya dari sekarang,” katanya.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) 12 negara itu yang dimeterai di Auckland, New Zealand pada 4 Feb, 2016, oleh Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, AS dan Vietnam, mempunyai masa dua tahun untuk mengesahkan perundangan mereka masing-masing. – Bernama