Pengeluar garam di Lubnan hadapi kesukaran

ANFEH – Elias al-Najjar yang berusia 93 tahun telah menghabiskan setengah abadnya dengan menuai garam di kolam yang terdapat di pesisir laut Mediterranean, Lubnan, dengan menggunakan tangannya sendiri. Bagaimanapun, dia dan sahabatnya merasa bimbang bahawa cara hidup mereka itu akan pupus.

Penghasilan garam pinggir laut secara tradisional adalah sesuatu yang digemari pada suatu masa dahulu di Lubnan, akan tetapi kemahiran menuai garam itu pada masa ini hanya wujud di sebuah bandar yang berdekatan dengan laut iaitu Anfeh, kira-kira 70 kilometer dari utara Beirut.

Pengeluar seperti Najjar mengatakan bahawa sektor ini telah mengalami beberapa siri cabaran seperti penghijrahan pemilik kolam semasa perang saudara di Lubnan sehingga menaikkan tarif import.

“Saya pernah menghasilkan 300 tan pada tahun 1950-an dengan usaha saya sendiri,” kata seorang lelaki tua.

“Sekarang, paling banyak pun saya hanya mampu mendapatkan 30 tan.”

Pekerja warga Lubnan melakukan kerja-kerja mereka di kolam penyejatan garam di pinggir pantai Anfeh, utara ibukota Beirut. – AFP
Elias al-Najar menunjukkan serpihan garam di pinggar pantai Anfeh. – AFP

Penghasil garam Anfeh telah membuat tuduhan terhadap kerajaan kerana tidak memberikan permit bagi memperbaiki peralatan mereka dengan sebab untuk mengusir penghasil garam keluar daripada estet pinggir laut untuk memberi laluan kepada pemaju.

“Jika mereka tidak memusnahkan kolam itu, mereka akan menjadikannya tidak boleh digunakan agar mudah untuk syarikat besar membeli dan memajukannya menjadi tempat peranginan,” kata Hafez Jreij yang berusia 67 tahun.

“Tanah tempat letaknya kolam tersebut akan diserahkan kepada pemaju yang ingin mengembangkannya sebagai tempat peranginan pantai.”

Majlis perbandaran telah memberitahu kepada AFP bahawa kerajaan pusat tidak akan memberikan apa-apa permit. Bagaimanapun jurucakap majlis perbandaran, Christiane Nicolas mengatakan bahawa majlis perbandaran tempatan tidak mempunyai keinginan untuk memusnahkan sektor tersebut.

“Kerajaan telah berhenti mengumpul cukai pada penghasilan garam tradisional kerana ia dianggap sebagai pencerobohan terhadap harta benda awam,” beritahunya kepada AFP.

“Tidak ada bukti yang mengatakan pihak berkuasa mahu menyerahkan pinggir laut tersebut kepada pemaju,” tambahnya.

Pengekstrakan garam adalah satu proses yang memakan masa dan mempunyai kaitan dengan perubahan cuaca, oleh itu pekerjaan ini hanya boleh dilakukan kira-kira empat bulan setiap setahun. Pertama sekali, air laut akan dipindahkan ke dalam kolam yang diperbuat daripada konkrit yang mempunyai kedalaman kira-kira satu meter menggunakan pam yang dikuasakan oleh kincir angin kecil.

Air tersebut dibiarkan di kolam yang mempunyai keluasan 20 meter persegi (lebih daripada 200 kaki persegi) sekurang-kurangnya selama 20 hari untuk menyejatkannya sehingga tinggal cecair yang masin. Cecair masin tersebut seterusnya akan disapu ke dalam kematu garam yang diperbuat daripada konkrit dan dibiarkan selama 10 hari sehingga menjadi lebih pekat.

Setiap hari, pengeluar menyapu air laut yang terletak di kematu garam untuk memastikannya kering secara rata. Kristal garam putih muncul dalam barisan dan bersinar di bawah sinaran matahari setelah cecair itu menghilang.

Jreij mengatakan bahawa industri garam tradisional Lubnan menghasilkan 50,000 tan setahun semasa zaman kegemilangannya diantara tahun 1955 dan 1975.

“Lubnan tidak perlu untuk mengimport garam dan kerajaan pusat telah mengenakan cukai sebanyak 200 peratus terhadap mereka yang mengimport garam,” katanya.

Bagaimanapun pada tahun 1975 semasa perang saudara Lubnan terjadi selama 15 tahun itu meletus, industri tersebut mengalami beberapa cabaran. Kebanyakan pemilik kolam adalah di kalangan penduduk Lubnan yang melarikan diri daripada peperangan yang berlangsung selama bertahun-tahun itu.

Dengan pemergian mereka, penghasilan garam mula jatuh daripada permintaan menyebabkan kerajaan pada tahun 1990-an terpaksa mengimport garam daripada luar negara.

Keputusan itu menjadikan sukar bagi pengeluar tempatan untuk bersaing dan sektor itu mengalami kejatuhan.

Penghasilan garam pinggir laut secara tradisional adalah sesuatu yang digemari pada suatu masa dahulu di Lubnan, akan tetapi kemahiran menuai garam itu pada masa ini hanya wujud di sebuah bandar yang berdekatan dengan laut iaitu Anfeh, kira-kira 70 kilometer (45 batu) utara Beirut. – AFP

Kerajaan telah mengumumkan bahawa penggunaan kematu garam adalah dilarang di persisir pantai awam.

Akibatnya, ia telah memberhentikan pendapatan cukai daripada penghasilan garam pada tahun 1994. Dan tanpa resit cukai, majlis perbandaran mula menolak permohonan permit daripada pengeluar untuk mengekalkan kelengkapan mereka seperti yang diterangkan oleh pengeluar.

Mereka mengadu bahawa penolakan itu menghalang pembaikan untuk dijalankan terhadap infrastruktur yang usang sekaligus memberhentikan industri tersebut.

Jreij menganggarkan kira-kira setengah daripada kematu garam yang terdapat di Anfeh tidak boleh digunakan disebabkan oleh keputusan yang telah dibuat pada tahun 1994.

Jreij juga mengatakan bahawa pihak berkuasa tempatan telah cuba untuk menutup perniagaannya pada tahun 2015 dan 2016 dengan mendakwa bahawa air laut yang telah mengalir ke kolam itu telah tercemar.

“Kami telah melakukan ujian makmal terhadap perairan di tempat pengekstrakan dan mendapati keputusannya mematuhi spesifikasi keselamatan,” kata Jreij.

Najjar mengatakan dia mengalami masalah yang sama sambil dia menunjukkan pada AFP keputusan analisis yang telah dilakukan di Lubnan.

Pada masa ini, pengeluar di Anfeh mencari rezeki dengan menjual garam kepada individu secara persendirian dan juga kepada perindustrian yang mahu membeli dengan kadar diantara AS$2 ke AS$4 sekilo yang mana ia adalah jauh lebih murah berbanding dengan garam yang diimport.

Nelayan Daniel Fares yang berusia 37 tahun mengatakan bahawa dia adalah pelanggan tetap Jreij disebabkan oleh proses penghasilannya yang jelas.

“Laut itu bersih dan anda tahu dari mana datangnya garam tersebut,” beritahunya kepada AFP.

“Saya lebih memilihnya berbanding daripada garam yang diimport kerana ia tidak memiliki bahan tambahan yang membuatkan ia sesuai digunakan untuk menjeruk sardin,” kata Fares, seorang yang menjual garam kepunyaan Jreij kepada pelanggannya untuk kegunaan tersendiri.

Jreij melihat perjuangan untuk memelihara kolam garam itu sebagai sebahagian dari pertarungan yang lebih besar dalam menjaga persisir pantai Lubnan yang mana telah dirosakkan oleh pemaju.

“Kolam garam tidak menghasilkan sisa, ia tidak menghalang jalan ke laut dan juga tidak menghalang pemandangan indah laut Mediterranean,” katanya.

“Tempat peranginan yang melakukan semua itu.” – AFP