Pengeluar kereta cari jalan bantu Takata

Pengeluar kereta cari jalan bantu Takata

FRANKFURT, 18 Feb (AFP) – Pengeluar kereta telah mengadakan mesyuarat krisis untuk melihat bagaimana mereka boleh membantu pengeluar beg udara Jepun Takata selepas penarikan balik berjuta-juta kenderaan di seluruh dunia disebabkan kerosakan dalam beg udara, lapor majalah Jerman semalam.

Menurut majalah bulanan Manager Magazin, Takata gagal menghasilkan jumlah beg udara yang mencukupi untuk mengganti beg udara yang rosak. Dan adalah mustahil untuk mencari satu pengeluar alternatif tepat pada masanya, kata majalah.

Pada mesyuarat krisis, perbincangan diadakan mengenai sama ada seorang pembeli boleh dicari untuk Takata atau sama ada membantu daripada segi kewangan, kata laporan.

Juga pada mesyuarat, pengeluar kereta Jerman membincang satu penyelesaian yang mungkin untuk kilang Takata di Freiberg di timur Jerman, yang tidak terjejas oleh kerosakan, tambah majalah.

Volkswagen dan jenama Audi, serta Daimler Mercedes-Benz dan BMW tidak mahu memberi komen mengenai laporan itu.

Seminggu lalu, pengeluar menarik balik sejumlah 2.5 juta kenderaan di Amerika Syarikat disebabkan kerosakan berkenaan.

Penarikan balik adalah perlu selepas didapati beg udara Takata boleh pecah dan terkena penumpang kereta dengan serpihan.

Sekurang-kurangnya 10 kematian, termasuk sembilan di Amerika Syarikat, telah dikaitkan dengan kerosakan beg udara. Pengeluar kereta di seluruh dunia telah dipaksa menarik balik lebih daripada 20 juta kereta untuk mengganti beg udara rosak.

Penyiasat mengesyaki inflator beg udara dan bahan dorong di dalamnya boleh rosak, terutamanya dalam keadaan yang panas dan lembap, sekaligus menyebabkan mereka gagal berfungsi.

ARTIKEL YANG SAMA