Pengeluar minyak dunia berhimpun di Qatar

Pengeluar minyak dunia berhimpun di Qatar

DOHA, 7 April (AFP) – Para pengeluar minyak dunia berhimpun di Qatar hari ini untuk merundingkan pembekuan pengeluaran untuk menaikkan harga ketika perbalahan antara negara pengaruh di rantau itu, Arab Saudi dan Iran mengancam akan membayangi rundingan itu.

Timbalan Putera Mahkota Saudi yang berpengaruh Mohamed bin Salman mengulangi dalam temu bual baru dengan Bloomberg yang disiarkan semalam bahawa negara beraja itu tidak akan membekukan pengeluaran melainkan Republik Islam itu berbuat demikian.

Ini adalah amaran kedua oleh putera itu dalam tempoh seminggu. Menteri Minyak Saudi Ali al-Naimi tiba di Doha semalam bagi rundingan tetapi enggan membuat sebarang ulasan.

Iran yang muncul dari sekatan berkaitan nuklear yang telah ditarik balik pada Januari lalu, pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa Menteri Minyak Bijan Zanganeh tidak akan menyertai rundingan Doha – yang sebaliknya akan dihadiri oleh wakil OPEC, Tehran.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Shana, kementerian Iran juga mengatakan bahawa “Iran telah mengumumkan ia tidak dapat menyertai rancangan untuk menstabilkan harga minyak” sementara penghasilannya masih dibawa tahap sebelum sekatan.

Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi, tengah kanan, tiba pada mesyuarat pengeluar-minyak di Doha, Qatar, Kelmarin. – AP
Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi, tengah kanan, tiba pada mesyuarat pengeluar-minyak di Doha, Qatar, Kelmarin. – AP

Pakar minyak Kuwait Kamel al-Harami berkata perjanjian pembekuan pada hari ini masih boleh dilakukan tanpa Iran. “Iran tidak dapat menambah lebih 500,000 tong sehari kepada pengeluarannya jelang akhir tahun ini,” Harami memberitahu di Doha. “Saya percaya ini tidak akan begitu memberi impak kepada rundingan,” ujarnya.

OPEC berkata Rabu lalu bahawa penghasilan minyak Iran pada Mac ialah 3.3 juta tong sehari, meningkat dari 2.9 juta pada Januari, tetapi masih kurang dari tahap sebelum sekatan iaitu kira-kira 4.0 juta. OPEC berkata para anggotanya menghasilkan 32.25 juta tong sehari pada Mac – dengan Arab Saudi diperkira hampir sepertiga – meningkat dari kadar 31.85 tong sehari pada tahun 2015.

Negara tuan rumah, Qatar berkata ‘suasana yakin’ tersebar sebelum rundingan dan pemangku menteri minyak Kuwait Anas al-Saleh memberitahu para pemberita setiba beliau di Doha bahawa ‘dia optimis’ dengan kejayaan rundingan. Harga minyak jatuh pada hari Jumaat ketika para peniaga menjangkakan rundingan di Doha tidak akan menghasilkan langkah berkesan untuk membendung bekalan berlebihan sejagat.