Pengeluar minyak, gas dimulakan jika hasil positif

Pengeluar minyak, gas dimulakan jika hasil positif

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) – Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman berkata proses pengeluaran minyak di dua blok di pantai timur Sabah yang kerajaan negeri ada pegangan akan dimulakan sekiranya kajian seismik dan kerja berkaitan di kawasan berkenaan didapati positif.

Beliau berkata pada masa ini M3energy Berhad, syarikat eksplorasi milik kerajaan negeri sedang dalam fasa penerokaan awal dengan Sapura Kencana di dua blok berkenaan iaitu SB331 di Sandakan darat dan SB332 di bawah 331 meliputi Lahad Datu dan Tawau.

“Jika keputusan ujian adalah positif maka kami akan mengambil langkah seterusnya iaitu proses pengeluaran minyak dan gas di kawasan tersebut,” kata Musa yang juga Menteri Kewangan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffery Kitingan (Star-Bingkor) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Datuk Seri Musa Aman bersama kedua-dua timbalannya Datuk Seri Yahya Hussin (kiri) dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan) membincangkan sesuatu sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula hari ini. – Bernama

Musa berkata M3enery Berhad juga kini dalam peringkat akhir rundingan dengan Petroleum Nasional (Petronas) untuk membangunkan SB305 iaitu di perairan Sandakan yang mempunyai gas.

Katanya pelan pembangunan SB305 adalah untuk membawa gas ke Sandakan untuk pembinaan sebuah loji janakuasa 385MW bagi tujuan pembekalan elektrik di Sandakan.

ARTIKEL YANG SAMA