Pengeluar minyak sawit digesa tingkat bekalan

Pengeluar minyak sawit digesa tingkat bekalan

BANGI, 15 April (Bernama) – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menggesa pengeluar minyak sawit meningkatkan bekalan bagi meneroka bahagian yang lebih besar dalam pasaran minyak sayur-sayuran bagi memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Yusof Basiron berkata minyak sawit sudah menyumbang bahagian yang besar, dan meningkatkannya akan memberi manfaat kepada pengeluar komoditi itu.

“Minyak lain seperti kacang soya, bunga matahari dan minyak biji sesawi juga mempunyai had masing-masing untuk menambah bekalan, dan oleh itu usaha perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan lebih banyak minyak sawit.

“Bagaimanapun, Malaysia menghadapi masalah intuk mengembangkannya memandangkan negara ini sudah kehabisan tanah pertanian untuk menanam kelapa sawit dan (keluasan hektar) tidak berubah pada 33 juta hektar manakala Indonesia kini menjadi pengeluar nombor satu di dunia dengan 200 juta hektar,” katanya kepada Bernama pada satu seminar hari ini

Pengeluaran minyak dan lemak pada 2015 berjumlah 204.890 juta tan, dengan minyak sawit menyumbang 30.85 peratus, diikuti oleh minyak kacang soya (23.07 peratus), minyak biji sesawi (13.4 peratus) dan minyak bunga matahari (7.69 peratus).

Bekalan dan permintaan terus meningkat tahun lepas, kata Yusof.

Bagaimanapun, bekalan tahun ini mungkin tidak meningkat ekoran pelbagai isu, yang mencabar permintaan dunia yang semakin meningkat.