Pengeluaran baru harus diterokai

Pengeluaran baru harus diterokai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Republik Filipina mencatat jumlah dagangan dan pelaburan yang meningkat di Negara Brunei Darussalam dengan kenaikan sebanyak AS$85.23 juta pada 2014 berbanding AS$75.72 pada 2013.

Jumlah berkenaan bagaimanapun diyakini boleh dipertingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang dengan meningkatkan lagi jumlah pengeluaran dan sumber-sumber yang dibekalkan oleh kedua-dua negara.

Keyakinan itu disuarakan oleh Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Meynardo LB. Montealegre pada majlis resepsi makan malam sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Filipina ke-117 tahun yang diadakan di Hotel Antarabngsa Rizqun, Gadong malam ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Yusof dan isteri.

Menurutnya, salah satu bidang pengeluaran baru yang harus diterokai bersama oleh kedua-dua negara ialah meningkatkan pengeluaran dan bidang kerjasama dalam industri halal.

Tetamu kehormat (tengah) bersama isteri dan Tuan Yang Terutama Meynardo memotong kek Hari Kemerdekaan Filipina.
Tetamu kehormat (tengah) bersama isteri dan Tuan Yang Terutama Meynardo memotong kek Hari Kemerdekaan Filipina.
Tuan Yang Terutama Meynardo menyampaikan ucapan Hari Kemerdekaan Republik Filipina.
Tuan Yang Terutama Meynardo menyampaikan ucapan Hari Kemerdekaan Republik Filipina.

“Negara Brunei Darussalam boleh mendapatkan produk dan bahan mentah keluaran produk halalnya dari Filipina kerana terdapat potensi yang besar dalam industri itu dan Filipina, terutama Mindanao boleh menjadi rakan aktif negara ini dalam inisiatif mempelbagaikan ekonominya,” kata beliau.

Dalam ucapannya, beliau juga mempelawa rakyat dan penduduk di negara ini supaya melancong ke Filipina kerana negara itu juga menawarkan banyak tempat menarik yang menjadi tumpuan para pelancong asing.

Katanya, Republik Filipina mencatatkan jumlah kunjungan para pelancong dari negara ini meningkat sebanyak 16.63 peratus iaitu 9,677 orang pada 2014 berbanding 8,297 orang pada 2013.

Tuan Yang Terutama Meynardo juga mencadangkan beberapa usaha untuk mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua negara, antaranya dalam bidang pelancongan, tenaga, pendidikan, perkapalan dan pelabuhan, perburuhan dan juga kebudayaan.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara yang diikuti kemudiannya dengan ucapan oleh Tuan Yang Terutama Meynardo.

Kemuncak acara sambutan itu ialah upacara memotong kek ulang tahun Hari Kemerdekaan Republik Filipina ke-117 tahun oleh Tuan Yang Terutama Meynardo, Yang Berhormat Pehin serta isteri.

ARTIKEL YANG SAMA