Pengeluaran getah asli Januari naik 2.1%

Pengeluaran getah asli Januari naik 2.1%

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) – Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia pada Januari 2016 naik sebanyak 1,548 tan, atau 2.1 peratus, kepada 75,132 tan berbanding Disember 2015.

Dalam kenyataan Jumaat, Jabatan Perangkaan berkata berbanding Januari 2015, pengeluaran, bagaimanapun, menunjukkan penurunan sebanyak 6,622 tan.

Katanya sektor pekebun kecil menyumbang 92.1 peratus daripada jumlah pengeluaran dan bakinya daripada sektor ladang.

“Bagi asas bulan ke bulan, sektor pekebun kecil mencatatkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus manakala sektor ladang mencatatkan kenaikan 1.7 peratus,” katanya.

Jabatan itu berkata eksport Januari 2016 berjumlah 51,503 tan, susut 4.9 peratus berbanding Disember 2015 dan turun 25.9 peratus berbanding Januari 2015. Standard Getah Malaysia (SMR) membentuk sebahagian besar daripada eksport, menyumbang 94.9 peratus, katanya.

Jabatan itu berkata bagi bulan tersebut, NR dieksport terutamanya ke China (41.4 peratus), Jerman (13.8 peratus), Iran (5.3 peratus), Amerika Syarikat (5.2 peratus), Turki (3.9 peratus), Finland (4.3 peratus), Brazil (tiga peratus), Taiwan (1.7 peratus) dan Portugal (1.2 peratus).

Pada Januari 2016, import NR meningkat 0.5 peratus kepada 109,244 tan berbanding Disember 2015 dan 13.6 peratus lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2015, katanya.

“Jenis utama NR yang diimport ialah standard getah (28.6 peratus) dan lateks pekat (24.6 peratus) yang kebanyakannya dari Thailand dan Vietnam,” katanya. Jabatan itu berkata penggunaan domestik NR pada Januari 2016 sebanyak 39,468 tan, turun 4.6 peratus berbanding Disember. Bagi perbandingan tahun ke tahun, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA