Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat

Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) – Pengeluaran getah asli Malaysia naik 5.7 peratus pada Mac kepada 57,678 tan metrik berbanding Februari.

Menurut Jabatan Perangkaan, penyumbang utama pengeluaran getah asli ialah dari sektor kebun kecil iaitu melebihi 90 peratus.

“Harga purata bulanan lateks pekat adalah 408.52 sen sekilogram, meningkat 52.94 sen sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Getah Mutu Malaysia 20 naik 62.95 sen sekilogram kepada 516.98 sen sekilogram.

Eksport getah asli Malaysia meningkat kepada 53,587 tan metrik berbanding Februari 2016 tetapi susut 12.4 peratus berbanding Mac 2015.

Lima destinasi utama eksport getah asli ialah China diikuti Jerman, Iran, AS dan Finland.

Sementara itu, penggunaan domestik getah asli pada Mac meningkat naik 7.4 peratus kepada 41,786 tan metrik.

Menurut jabatan itu, industri sarung tangan getah mencatatkan penggunaan getah asli melebihi 50 peratus daripada jumlah penggunaan domestik.

Paras stok getah asli pada akhir Mac bertambah 0.9 peratus kepada 239,969 tan metrik.