Pengeluaran getah asli turun pada Mei

Pengeluaran getah asli turun pada Mei

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pengeluaran getah asli Malaysia turun 19.7 peratus pada Mei 2016 kepada 33,565 tan metrik daripada 41,786 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata sektor kebun kecil merupakan penyumbang utama pengeluaran getah asli, menyumbang 92.0 peratus.

“Harga purata bulanan lateks naik 11.86 sen sekilogram kepada 485.00 sen sekilogram (kg) pada Mei berbanding April 2016,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia 20 susut 29.45 sen sekilogram kepada 542.98 sen sekilogram.

Eksport getah asli Malaysia jatuh sembilan peratus kepada 51,146 tan metrik pada Mei berbanding April.

Lima destinasi utama eksport getah asli Malaysia ialah China, Jerman, Iran, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Sementara itu penggunaan domestik getah asli pada Mei 2016 berkurangan 3.2 peratus kepada 39,599 tan metrik daripada bulan sebelumnya.

“Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun meningkat satu peratus. Industri sarung tangan getah kekal sebagai pengguna domestik utama iaitu 71.4 peratus,” kata jabatan itu.

Jabatan Perangkaan berkata paras getah asli pada akhir Mei 2016 turun sebanyak 12.6 peratus kepada 186,209 tan metrik daripada bulan sebelumnya. – Bernama