Pengeluaran iPhone 6s, 6s Plus mungkin dikurangkan

Pengeluaran iPhone 6s, 6s Plus mungkin dikurangkan

TOKYO, 6 Jan (Reuters) – Apple Inc dijangka mengurangkan sehingga 30 peratus pengeluaran model iPhone terbaharunya bagi bulan Januari hingga Mac berikutan inventori yang semakin meningkat, lapor berita perniagaan Nikkei.

Perkembangan itu membimbangkan pelabur dalam saham syarikat pembekal Asia kepada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu.

Memandangkan inventori iPhone 6s dan 6s Plus bertambah sejak dilancarkan September lalu, pengeluarannya akan dikurangkan bagi membolehkan pengedar menghabiskan stok sedia ada, lapor akhbar perniagaan harian itu.

Laporan itu menyebabkan saham Apple susut 2.5 peratus, yang hilang suku daripada nilainya berbanding rekod tertinggi April lalu.

Ia mencerminkan kebimbangan mengenai jualan yang perlahan. Saham pengeluar skrin dan cip iPhone di Asia juga kebanyakannya ditutup lebih rendah hari ini.

Seorang wanita memandang skrin telefon bimbitnya di hadapan logo Apple, di luar sebuah kedai pusat bandar Shanghai. - Reuters
Seorang wanita memandang skrin telefon bimbitnya di hadapan logo Apple, di luar sebuah kedai pusat bandar Shanghai. – Reuters

“Tindakan mengurangkan pengeluaran ini menceritakan permintaan lebih lemah yang disaksikan Apple melalui model 6s,” kata penganalisis FBR Capital Markets, Daniel Ives. Dalam kalangan pengeluar panel skrin, Japan Display Inc jatuh empat peratus manakala LG Display Co Ltd susut 3.4 peratus.

Hon Hai Precision Industry turun 1.8 peratus untuk diniagakan sekitar T$77.80, paras terendah yang tidak disaksikan dalam empat bulan.

Hon Hai, yang menggunakan nama dagangan Foxconn, adalah syarikat pemasang utama iPhone.

TSMC, pengeluar cip terbesar dunia dan membekalkan sebahagian cip digunakan dalam iPhone juga susut 1.1 peratus kepada T$136.50, paras yang tidak pernah dicatatkan sejak pertengahan November.

Satu lagi syarikat Taiwan, Pegatron Corp, susut empat peratus untuk diniagakan pada T$69.00.

ARTIKEL YANG SAMA