Pengeluaran kayu S’wak meningkat

Pengeluaran kayu S’wak meningkat

KUCHING, 20 Jan – Pengeluaran kayu Sarawak dari ladang hutan mampu mencecah tiga juta meter padu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Jabatan Perhutanan Sarawak.

Penebangan dari ladang hutan sudah pun bermula dengan pengeluaran yang positif, kata jabatan itu dalam edisi Oktober-Disember 2015, Perbadanan Pembangunan Industri Perkayuan Sarawak (STIDC).

Pengeluaran balak dari ladang hutan meningkat daripada 62,741 meter padu pada 2011 kepada 537,752 meter padu pada 2013.

Sarawak mengamalkan pengurusan hutan lestari bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi untuk industri berasaskan kayu.

STIDC berkata kerajaan mahu mewujudkan satu juta hektar spesies pokok cepat besar pada 2020 melalui ladang hutan yang melengkapkan hutan semula jadi dengan menyediakan sumber alternatif bahan mentah untuk industri.

Industri berasaskan kayu di Sarawak pada masa ini didominasi oleh sektor pemprosesan seperti papan lapis, kayu bergergaji dan venir, namun pertumbuhan industri utama adalah terhad disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran hutan semula jadi.

“Oleh itu, ladang hutan memain peranan penting dalam membekalkan bahan mentah, terutama untuk produk bernilai tambah tinggi seperti perabot.

Bahan mentah dari ladang hutan Sarawak juga digunakan untuk menghasilkan produk seperti venir, papan lapis, kayu bergergaji, papan lamina, papan partikel, cip kayu, pelet, kayu mampat, pintu, lantai dan kraftangan, katanya.

“Usaha sudah dilakukan bagi menggalakkan penggunaan bahan mentah dari lading hutan menerusi pameran perdagangan serta eksport kayu.

“Spesies Acacia merupakan sumber bahan mentah boleh baharu dan berkekalan, yang memenuhi kriteria pensijilan Produk Hijau,” katanya. – Bernama