Pengendali bagasi lapangan terbang subahat edar dadah

Pengendali bagasi lapangan terbang subahat edar dadah

WASHINGTON, 19 Mei – Empat belas orang, termasuk beberapa pengendali bagasi lapangan terbang, telah didakwa dalam satu skim penghantaran dadah di seluruh Amerika Syarikat menggunakan bagasi jinjing, umum Jabatan Keadilan semalam.

Tiga pengendali bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Oakland di California yang dapat melangkaui pemeriksaan keselamatan sebagai pekerja, dituduh memasuki lapangan terbang bersama bagasi mengandungi marijuana.

Pengendali itu kemudian akan menggunakan lencana keselamatan mereka untuk mengakses kawasan terminal dan menyerahkan dadah itu kepada penumpang yang hendak menuju ke luar kota, yang membawa marijuana dalam bagasi bimbit.

Dadah itu dijual di bandar destinasi penumpang dalam satu skim yang bermula pada awal Julai 2012, menurut jabatan berkenaan.

Salah seorang pengendali juga dituduh mengirim dadah itu dalam kargo.

Anggota lingkaran dadah itu didakwa kerana berkonspirasi untuk mengedar dan memiliki dengan tujuan mengedar 100kg atau lebih marijuana.

Sembilan defendan telah ditangkap di kawasan San Francisco, tempat lapangan terbang Oakland, serta negeri Arkansas.

Tiga lagi masih dalam pemburuan dan dua yang lain sudah menjalani hukuman penjara berkaitan marijuana.

Dakwaan ke atas mereka membawa kira-kira 40 tahun penjara dan denda $5 juta, dengan hukuman penjara minimum mandatori lima tahun. – AFP