Pengendali pakej Haji, Umrah ditambah

Pengendali pakej Haji, Umrah ditambah

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memang sudah berhasrat untuk menambah agensi yang dibenarkan mengendalikan pakej Haji dan Umrah kepada empat syarikat supaya memberikan peluang kepada jemaah-jemaah membuat pilihan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhomat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, dengan adanya tambahan ini diharap akan mendorong kesemua agensi tersebut, bukan saja menawarkan harga berpatutan bahkan memberikan perkhidmatan terbaik yang diharapkan oleh jemaah-jemaah haji dan umrah.

Menyentuh mengenai memendekkan tempoh menunaikan Haji, semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini telah banyak disuarakan, dan masih perlu diteliti lebih mendalam agar ia tidak menjejaskan fardu Haji para jemaah.

pg05_160315_b

Menurutnya, perkara ini harus diperiksa oleh Jabatan Urusan Haji mengenai apakah ia akan mengurangkan kos pada zahir sedemikian, kerana urusan haji berkenaan susah ditentukan, kerana ia ditentukan oleh keadaan di Tanah Suci.

“Pihak agensi yang dilantik juga harus memainkan peranan penting untuk memberikan yang terbaik dan meneroka untuk mendapatkan pakej yang terbaik dari segi kos dan juga tempat tinggal. “

Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai dengan jemaah dari negara-negara lain yang masih boleh menunaikan Haji dengan harga lebih murah dan tidak menjejaskan ibadat Haji mereka.

Dengan itu, beliau menyeru agensi-agensi yang dilantik untuk meneroka bagi mendapatkan kos yang lebih murah, selamat dan berbaloi tanpa menjejaskan ibadat Haji jemaah-jemaah Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA