Pengepaman minyak Rusia meningkat

Pengepaman minyak Rusia meningkat

MOSCOW, 3 Jan (AFP) – Rusia mengepam 534 juta tan minyak mentah pada 2015 walaupun ketika ia berpulih daripada satu kemerosotan dalam harga minyak yang berpunca daripada kemelesetan bekalan, data kementerian tenaga menunjukkan semalam.

Pengeluaran minyak dan gas hasil pemeluwapan negara pada tahun lalu meningkat 1.4 peratus tahun-ke-tahun, dengan pengeluaran mencecah 10.73 juta tong sehari, satu rekod yang dicatat selepas Soviet, menurut data yang dipetik oleh agensi berita Interfax.

Kemerosotan dalam harga minyak dan sekatan Barat mengenai peranan Moscow dalam krisis Ukraine telah menjejas ekonomi Rusia yang bergantung pada minyak dalam beberapa bulan ini.

Ruble kehilangan separuh daripada nilainya pada 2014 tetapi berpulih sedikit tatkala harga minyak menjadi stabil pada tahun lalu.

Namun kemelesetan terbaru dalam harga minyak dengan minyak mentah Brent merosot kepada tahap rendah 11-tahun pada bulan lalu menyurami prospek pemulihan ekonomi.

Gambar yang diambil pada 21 Februari 2007 menunjukkan seorang pekerja stesen pam minyak Yuganskneftegaz di Priobskoe, kira-kira 200 km dari Nefteyugansk, Rusia.
Gambar yang diambil pada 21 Februari 2007 menunjukkan seorang pekerja stesen pam minyak Yuganskneftegaz di Priobskoe, kira-kira 200 km dari Nefteyugansk, Rusia.

‘Semua negara, termasuk negara OPEC, telah menumpu pada peningkatan pengeluaran mereka dan menghasilkan seberapa banyak minyak supaya tidak kehilangan kelebihan pasaran mereka tidak menghirau bahawa mereka sedang mendorong harga turun,’ kata pakar runding minyak Mikhail Krutikhin semalam di radio Rusia. ‘Nampaknya Rusia juga mengikut haluan ini.’

Bank Pusat Rusia meramalkan jika harga minyak kekal pada tahap mereka sekarang, KDNK mungkin mengecut sebanyak 2 peratus pada 2016.

Presiden Vladimir Putin memberi jaminan pada persidangan akhbar tahunan pada awal bulan lalu bahawa negara bersedia untuk menghadapi sebarang keadaan ekonomi, meskipun ketidakstabilan dalam harga minyak.

Belanjawan Rusia 2016 telah dikira berdasarkan harga minyak $50 satu tong, satu angka yang dikatakan oleh Putin merupakan penilaian situasi yang ‘optimistik’, dengan harga kini mencecah kira-kira $37.