Pengetahuan penggunaan terasul secara betul

Pengetahuan penggunaan terasul secara betul

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 12 Nov – Seramai 25 orang kakitangan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) telah menghadiri Taklimat ‘Terasul dan Kata Ganti Nama Diri’ yang diadakan di Bilik Latihan IBTE maktab tersebut, kelmarin.

Taklimat yang dianjurkan oleh Bahagian Pengajian Brunei dalam Melayu Islam Beraja (MIB), IBTE Kampus MKJB, ini bertujuan untuk memberikan pendedahan bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap terasul dan kata ganti nama diri.

Dalam taklimat tersebut, mereka turut mendengar taklimat ringkas mengenai peranan dan tanggungjawab Jabatan Adat Istiadat Negara.

Tenaga Pengajar MIB di Bahagian Pengajian Brunei, Dayang Ramizah binti Razali berkata pendedahan ini bertujuan untuk memberi tunjuk ajar serta tatacara yang betul dalam menggunakan bahasa dalam, terasul dan sebagainya yang berteraskan MIB.

Gambar ramai bersama kakitangan IBTE Kampus MKJB yang mengikuti taklimat itu.
Gambar ramai bersama kakitangan IBTE Kampus MKJB yang mengikuti taklimat itu.

Selain itu, taklimat seperti ini amat bermanfaat bagi pegawai dan kakitangan IBTE Kampus MKJB untuk mengetahui lebih mendalam lagi mengenai Adat Istiadat Diraja dan juga keperibadian orang-orang Brunei serta penggunaan bahasa yang bersesuaian terutamanya ketika berhadapan dengan orang-orang kenamaan lebih-lebih lagi ketika menghadiri majlis penuh adat istiadat, tambah beliau.

Menurut beliau lagi, antara yang hadir termasuk guru-guru agama, kerani pentadbiran, para pembersih dan pembantu teknikal.

“Penggunaan terasul ini merangkumi cara bagaimana tatatertib orang kitani menjawab kepada mereka yang bergelar dan bukan bergelar seperti awang-awang, pengiran, pehin, menteri dan orang-orang kenamaan atau kerabat diraja,” tambahnya lagi.

Taklimat tersebut dikendalikan oleh Pegawai Adat Istiadat, Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri, Awangku Mohd Noor Hamaddi bin Pengiran Ahmad.

Dalam temu bual bersama media selepas taklimat petang tadi, beliau memberitahu visi jabatan tersebut adalah untuk memberigakan pengetahuan mengenai adat istiadat kepada seluruh penduduk di Negara Brunei Darussalam dan dengan adanya taklimat-taklimat seperti ini, pihak jabatan akan dapat menyalurkan maklumat-maklumat tersebut kepada lebih ramai orang lagi.

ARTIKEL YANG SAMA