Pengganas Anzac dipenjara 10 tahun

Pengganas Anzac dipenjara 10 tahun

MELBOURNE, 5 Sept – Seorang remaja yang merancang melanggar dan memancung kepala seorang pegawai polis dalam serangan pengganas Anzac Day di Australia selepas ‘fikirannya dirosakkan oleh pejuang-pejuang gila’ hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Sevdet Besim, 19 tahun mengaku bersalah bertindak dalam persiapan, atau merancang bagi serangan pengganas dalam perancangan 2015 untuk menyerang acara memperingati di Melbourne dalam memberi penghormatan kepada tentera-tentera yang berjuang dan terkorban demi Australia.

Mahkamah Tinggi Victoria sebelum ini telah mendengarkan bahawa Besim telah membincangkan komplot itu dalam mesej berkod dengan seorang remaja lelaki Britain yang pada masa itu berusia 14 tahun.

Remaja itu, yang tidak dapat didedahkan identitinya kerana alasan undang-undang, telah menjadi ketua perancang komplot yang gagal itu dari bilik tidurnya di Lancashire, utara England dan telah dipenjara lima tahun Oktober lalu.

Hakim Michael Croucher berkata cadangan ‘perbuatan jahat’ Besim mempunyai tujuan jihad ganas, mengugut kerajaan dan mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat yang lebih luas.

“Bagi majoriti besar masyarakat, tidak dapat diduga seorang remaja 18 tahun merancang membunuh pegawai penguat kuasa undang-undang, untuk melanggarnya dengan kereta dan kemudian memancung kepalanya dengan pisau,” kata Croucher.

“Sebagai sebahagian dari rancangannya bagi perlakuan jahat, Besim telah melakukan pencarian di internet tentang Anzac Day dan tempat-tempat yang mungkin mengadakan acara peringatan itu.

“Dia mempunyai sebilah pisau, dia memiliki kereta, dia mempunyai bendera jihad, dia mendapat dorongan dari S (remaja Britain) dan fikiran yang telah dirosakkan oleh pejuang-pejuang yang gila.

Itu saja yang diperlukannya untuk melakukan kekejaman ini dan dia bersedia untuk mati mencubanya.”

Mahkamah mendengarkan Besim, yang telah ditangkap seminggu sebelum Hari Anzac, adalah sekutu Numan Haider, yang telah ditembak mati oleh pasukan cegah keganasan dalam tahun 2014 di Melbourne selepas menikam dua anggota polis.

Croucher dan Besim berhasrat pergi ke Timur Tengah dan menyertai pasukan yang digelar Kumpulan Islam IS, tetapi dia tidak diberikan pasport dan apabila Haider dibunuh dia memutuskan ‘bahawa dia mesti berjuang di sini di Melbourne.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA