Pengganas IS paling dikehendaki terbunuh

Pengganas IS paling dikehendaki terbunuh

SYDNEY, 5 Mei (AFP) – Tersangka pengganas dari Islamic State (IS) yang paling dikehendaki di Australia, yang dikaitkan dengan beberapa serangan di tanah air, terbunuh dalam serangan udara AS di Iraq, menurut Canberra hari ini.

Kematian Neil Prakash dianggap bermakna oleh pihak berkuasa Australia dan Amerika kerana dirinya yang begitu terkenal dan peranannya yang berpengaruh sebagai perekrut kanan bagi kumpulan berani mati itu. Peguam Negara George Brandis berkata Washington telah memberitahu Canberra bahawa Prakash terbunuh di Mosul, Iraq pada 29 April.

“Neil Prakash adalah anggota terkenal ISIL dan perekrut pengganas kanan dan pemudah serangan,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Menteri Pertahanan Marise Payne, dengan menggunakan akronim ISIL bagi IS. “Prakash dikaitkan dengan beberapa rancangan serangan di Australia dan gesaan bagi serangan bersendirian ke atas AS. Dia dianggap perekrut ISIL paling dikenali di Australia.”

Pihak berkuasa Amerika juga memberitahu kerajaan bahawa wanita Australia, Shadi Jabar Khalil Mohammad terbunuh dalam serangan udara yang sama berhampiran bandar Syria, Al Bab pada 22 April, bersama-sama suaminya, warga Sudan.

“Mohammad dan suaminya, Abu Sa’ad al-Sudani kedua-duanya perekrut aktif pejuang-pejuang asing bagi pihak ISIL, dan mendorong serangan ke atas kepentingan pihak Barat,” kata Brandis. Dia adalah kakak kepada Farhad Jabar, remaja lelaki berusia 15 tahun yang menembak mati seorang kakitangan polis Curtis Cheng di Sydney Oktober lalu, remaja itu telah terbunuh dalam pertempuran bersenjata tidak lama selepas itu.

Prakash yang meninggalkan Australia pada tahun 2013 dan dikenali sebagai Abu Khalied al-Cambodi, dikaitkan dengan komplot ganas pada hari Anzac tahun lalu, apabila Australia memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh dalam peperangan. Dia juga muncul dalam video-video propaganda IS termasuklah video tahun lalu yang menggesa bagi serangan ke atas Australia.

Australia telah lama bimbang akan faham pelampau tempatan dan menaikkan tahap kewaspadaan ancaman ganas kepada tahap tinggi pada September 2014. Kira-kira enam serangan telah digagalkan di bumi Australia dalam tempoh 18 bulan lalu, menurut kerajaan. Tetapi beberapa serangan berlaku, termasuklah pembunuhan berkaitan keganasan ke atas Cheng.

ARTIKEL YANG SAMA