Pengganas perlu digempur

Pengganas perlu digempur

ADDIS ABABA, 27 Julai (dpa) – Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama hari ini dijangka menggalakkan pertempuran menentang kumpulan militan Islam, Al-Shabaab di Habsyah, perhentian kedua beliau pada lawatan rasmi empat hari ke rantau itu.

“Ancaman di Kenya dan Habsyah sangat serupa,” kata penasihat keselamatan kebangsaan Obama, Ben Rhodes.

Kedua-dua negara berdepan cabaran serupa dari segi keganasan, tetapi juga pencabulan hak asasi kemanusiaan dan pertumbuhan ekonomi, menurut Rhodes.

Para wartawan diugut atau dipenjara di Habsyah dan masyarakat awam disekat, katanya lagi.

Hak asasi kemanusiaan justeru itu merupakan aspek-aspek utama rundingan Obama dengan Perdana Menteri Hailemariam Desalegn.

Barack Obama (kiri) dan Perdana Menteri Habsyah Hailemariam Desalegn mengadakan sidang media di Istana Negara. – Reuters
Barack Obama (kiri) dan Perdana Menteri Habsyah Hailemariam Desalegn mengadakan sidang media di Istana Negara. – Reuters

Obama, presiden pertama AS yang masih dalam jawatannya mengadakan lawatannya ke Habsyah, juga dijadualkan berucap di Kesatuan Afrika (AU). Ini akan membolehkan Obama berucap kepada seluruh benua, menurut Rhodes.

Obama telah mengadakan Sidang Mesyuarat Afrika di Rumah Putih di Washington hanya tahun lalu.

Presiden Zimbabwe dan Pengerusi AU Robert Mugabe yang berkali-kali dikritik oleh pihak Barat kerana gaya kepimpinannya yang autoritarian, tidak dijangka menghadiri pada ucapan Obama itu, Mugabe tidak dijemput ke sidang mesyuarat Afrika itu.

Konflik awam yang sedang berlaku dan pencabulan hak asasi kemanusiaan di Sudan Selatan juga mungkin ditangani ketika Obama berada di Addis Ababa selama lawatan dua hari beliau itu.

Perebutan kuasa antara Presiden Salva Kiir dan bekas timbalannya Riek Machar telah memaksa kira-kira dua juta orang melarikan diri dari negara paling muda di dunia itu dalam tempoh 18 bulan lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Obama ingin menggunakan lawatannya ke rantau itu untuk membantu menamatkan perang saudara, menurut Rhodes.