Pengganas perlu dihalang mendapat dana – Ahmad Zahid

Pengganas perlu dihalang mendapat dana – Ahmad Zahid

WASHINGTON, 3 April (Bernama) – Dalam membendung keganasan, terdapat keperluan untuk menghalang para pengganas daripada mendapatkan dana dan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka juga perlu dihalang daripada mengendalikan bahan letupan, pembuatan bom dan senjata api.

“Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, kita mesti menghalang mereka daripada mempunyai akses kepada Improvised Explosive Device (IED) (peranti letupan diubah suai), dan mana-mana komponen yang berkaitan nuklear,” katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mengenai keganasan, pelampau dan deradikalisasi dalam sesi “Perbualan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia” dengan pelajar dari universiti-universiti Amerika pada Sabtu, di sini berkata Malaysia telah mengambil tiga langkah utama dalam perjuangan menentang keganasan.

Program ini dikendalikan Prof Amitav Acharya, profesor hubungan antarabangsa universiti itu yang berkhidmat sebagai pengerusi Pusat Pengajian ASEAN di universiti itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Program ‘Bicara Bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia’ bersama pelajar ‘School Of International Service American University’. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Program ‘Bicara Bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia’ bersama pelajar ‘School Of International Service American University’. – Bernama

Satu lagi isu penting yang perlu ditangani segera ialah penggunaan media sosial dalam menyebarkan ideologi Daesh dalam kalangan masyarakat, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, dalam menangani isu ini, kerajaan Malaysia bersama-sama dengan rakan kongsi antarabangsanya termasuk Amerika Syarikat telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi dengan tujuan menjalankan pendekatan Memerangi Secara Naratif untuk mengelakkan Daesh daripada menyebarkan ideologinya, maklumat palsu dan merekrut anggota baharu, katanya.

Ahmad Zahid berkata: “Kita perlu memecahkan momentum kumpulan itu, dan akhir sekali sokongannya. Matlamat kami bukan untuk menghalang atau menbendung Daesh tetapi untuk mengalahkan dan memusnahkan Daesh,” katanya.

Bagi memastikan bahawa Malaysia boleh mencapai kemenangan ke atas pemimpin dan rangkaian pengganas, wujud keperluan untuk meneruskan strategi memerangi keganasan.