Pengganasan melampau cabaran baru Singapura

Pengganasan melampau cabaran baru Singapura

SINGAPURA, 9 Ogos – Pengganasan melampau adalah satu daripada cabaran baharu yang digariskan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam Amanat Hari Kebangsaan beliau. Singapura menyambut ulang tahun ke-51 kemerdekaannya hari ini.

“Kita memiliki masyarakat berbilang kaum yang harmoni, tetapi pengganasan oleh pihak pelampau boleh memecahbelahkan kita,” kata Lee.

Beliau menarik perhatian bahawa baru-baru ini, para pengganas yang terpengaruh dengan ISIS atau Daesh, melakukan serangan di Amerika Syarikat, Eropah, Turki, Bangladesh, dan di negara berjiran, Malaysia dan Indonesia.

“Lebih banyak lagi boleh dijangkakan. Kita sedar Singapura juga menjadi sasaran. Kita telah menahan beberapa rakyat Singapura dan pekerja asing yang menjadi radikal secara sendiri.

“Jika berlaku serangan pengganas di sini, adakah kita akan bersatu padu, ataupun berpecah belah? ” tanya beliau.

Perdana menteri berkata Singapura boleh mengambil langkah berbeza dalam menangani cabarannya.

“Kita akui ancamannya secara jujur,” kata Lee.

“Masyarakat Islam Singapura tidak takut untuk mengambil pendirian tegas, untuk mengutuk serangan-serangan pengganas dan ideologi songsang para pelakunya.

“Dan masyarakat bukan Islam Singapura dapat membezakan dengan jelas, antara rakan-rakan Muslim senegara mereka yang mencintai kedamaian dengan pengganas jihadi.

“Oleh itu, kita bersatu padu, dan memperteguh kepercayaan terhadap masyarakat berbilang agama kita,” katanya.

Lee berkata faktor yang paling asas untuk memastikan Singapura kekal luar biasa bukanlah perancangan yang baik atau sumber yang mencukupi “tetapi sama ada kita kekal bersatu padu”.

“Azam yang kita kongsi untuk sama-sama mengatasi cabaran, yang akan menentukan sama ada kita berjaya atau tewas, dan sama ada anak-anak kita mempunyai masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Dua lagi cabaran baharu yang diakui Singapura adalah ekonomi berkembang dalam Globalisasi dan perubahan teknologi dan memastikan agar Singapura terus miliki politik yang bersih dan membina serta pemerintah yang berkesan dan stabil. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA