Penggiat filem tempatan dialu-alukan sertai LPFF

Penggiat filem tempatan dialu-alukan sertai LPFF

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – Festival Filem Luang Prabang (LPFF) ke-7 bakal diadakan pada 2 hingga 7 Disember depan di ibu negara ‘kebudayaan’ Laos, yang merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Sehubungan itu, LPFF dalam kenyataannya mengumumkan tarikh pesta berkenaan, mengalu-alukan para penggiat filem di negara ini untuk menyertainya.

Menurut kenyataan itu, aktiviti LPFF tidak terhad kepada program bulan Disember itu, yang mana pelbagai acara dan projek filem LPFF dilanjutkan untuk memupuk rangkaian yang kukuh antara pembikin filem Asia Tenggara dan menyediakan peluang untuk menyokong mereka serta membangunkan lagi industri filem yang semakin berkembang terutama di Laos.

LPFF juga mengumumkan pelancaran saluran untuk filem Laos VIDDSEE, platform video dalam talian eksklusif untuk filem pendek Asia.

Dana Pembuat Filem Laos ditubuhkan dan dikendalikan oleh LPFF pada tahun 2013 sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan dan memberikan sokongan kepada pembikin filem di Loas supaya semakin bersemangat untuk merealisasikan projek-projek mereka.

Menurut kenyataan lagi, pesta bukan untuk keuntungan itu adalah acara antarabangsa tetap terbesar di Laos, menarik purata 20,000 pengunjung setiap tahun.

Ia telah terbukti sebagai salah satu platform paling penting dan perhimpunan bagi pembuat filem Asia Tenggara dan acara destinasi yang menarik untuk penonton dari semua latar belakang. Untuk maklumat lanjut mengenai Festival Filem Luang Prabang, bolehlah melayari laman web projek di www.lpfilmfest.org atau mendapatkan berita terkini di www.facebook.com/lpfilemfest.

ARTIKEL YANG SAMA