Penggiat minyak sawit Sabah digesa bina loji biogas

Penggiat minyak sawit Sabah digesa bina loji biogas

SANDAKAN, 28 April – Kalangan penggiat industri minyak sawit di Sabah diminta menyahut gesaan kerajaan agar semua kilang mereka dilengkapi kemudahan loji biogas menjelang tahun 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan berkata ia sejajar inisiatif kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Minyak Sawit dan Getah melalui projek permulaan 5 (EPP5).

“Usaha ini memerlukan pembabitan penggiat industri minyak sawit khususnya di Sabah untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan bagi memastikan loji biogas itu selamat untuk semua pihak berkaitan.

“Bagi memastikan loji biogas itu sentiasa menepati piawaian nasional dan antarabangsa, pihak industri juga perlu berusaha memahami Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Industri Minyak Sawit di sini, Khamis. – Bernama