Penggiat pelancongan digesa tingkatkan mutu

KOTA KINABALU, 13 Mac – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun menyeru agar penggiat industri pelancongan di negeri ini mengambil peluang untuk meningkatkan daya saing serta mutu perkhidmatan bagi menghadapi cabaran di masa depan.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu penggiat industri pelancongan mempertingkat lagi mutu perkhidmatan masing-masing.

“Antaranya kerajaan menyediakan pelbagai insentif serta galakan kepada penggiat industri melalui beberapa program seperti Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan (TPIP) yang menawarkan kemudahan pembiayaan dana pelancongan berbentuk pinjaman.

“Kerajaan juga menyediakan Tabung Khas Pelancongan (TKP) iaitu kemudahan pinjaman kepada pengusaha bertaraf kecil dan sederahana. Oleh itu saya meminta semua penggiat industri pelancongan di Sabah merebut peluang yang disediakan untuk memajukan perkhidmatan masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Keterlibatan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sabah, hari ini.

Masidi berkata pihaknya percaya dengan peluang-peluang yang ada, para penggiat industri pelancongan di negeri ini akan mencapai matlamat dan sasaran yang ditetapkan. – Bernama