Penggiat seni tanah air berlepas ke Indonesia

Penggiat seni tanah air berlepas ke Indonesia

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi jalinan hubungan dengan artis veteran Indonesia, sekumpulan artis veteran tanah air daripada Persatuan Penyanyi, Penari dan Pemuzik (3P) Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi mengadakan lawatan selama tiga hari.

Rombongan seramai 15 orang penyanyi, pemuzik dan penari veteran itu diketuai oleh komposer muzik tanah air, Mejar (B) Haji Manaf bin Haji Kamis.

Ketika ditemui sejurus sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini, Yang Di-Pertua Persatuan 3P, Hajah Saadiah bin Haji Ghazali berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama artis veteren Indonesia.

Beliau menjelaskan, idea untuk mengadakan lawatan itu tercetus daripada perhubungan kedua-dua pihak melalui media sosial yang seterusnya diusahakan sehingga merealisasikan lawatan itu.

Mejar (B) Haji Manaf (lima kiri) mengetuai rombongan Persatuan 3P ke Indonesia.
Mejar (B) Haji Manaf (lima kiri) mengetuai rombongan Persatuan 3P ke Indonesia.

“Setelah mencapai persetujuan, Persatuan 3P dan persatuan artis veteran Indonesia, Starina, bersetuju supaya artis Brunei mengadakan lawatan kunjungan ke Indonesia,” kata Hajah Saadiah.

Menurutnya, antara artis veteran yang akan ditemui sepanjang berada di Indonesia ialah Hetty Koes Endang, Mukhsin, Titiek Sandora, Mus Mulyadi, Bob Tutupoli, Elvi Sukasih dan Titiek Puspa.

Semasa di sana nanti, rombongan 3P akan diraikan pada jamuan makan malam oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman.

Delegasi rombongan itu juga akan diraikan pada majlis makan malam oleh ahli Persatuan Starina Indonesia dan juga berpeluang melawat stesen penyiaran Indosiar untuk menyaksikan rakaman yang dibuat secara langsung.

Hajah Saadiah berharap lawatan itu akan mengeratkan jalinan hubungan yang telah terbina sejak sekian lama dengan artis Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA