Penggodam 77,000 komputer terima padah

Penggodam 77,000 komputer terima padah

PITTSBURGH, 18 Ogos – Seorang penggodam yang didakwa kerana membantu mencerobohi kira-kira 77,000 buah komputer melalui forum penggodaman dalam talian, Darkode, mengaku bersalah semalam di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat, menurut pihak pendakwa.

Eric Crocker, 39 tahun, dari Binghamton, New York adalah antara 12 orang yang didakwa pada bulan Julai apabila forum penggodaman antarabangsa dimansuhkan oleh pihak berkuasa AS yang bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang seluruh dunia.

Crocker, yang menggunakan nama samaran di online,”Phastman’, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mencabuli Akta CAN-SPAM, undang-undang persekutuan ke atas pencabulan perhubungan Internet, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara AS di Pittsburgh.

Pihak pendakwa berkata Crocker menggunakan alat penggodaman dipanggil Facebook Spreader untuk mencerobohi komputer yang dilindungi.

Crocker dan penggodam Darkode lain kemudian akan menjual akses ke komputer yang digodam kepada mereka yang ingin menghantar mesej komersial. Secara berkala mereka akan dibayar antara AS$200 dan AS$300 bagi setiap 10,000 jangkitan komputer aktif.

Crocker berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda AS$250,000 atau kedua-duanya sekali, menurut kenyataan itu lagi. Penghukuman dijangkakan pada 23 November.

Biro Penyiasatan Persekutuan dan Pejabat Peguam AS di Pittsburgh mengetuai penyiasatan ke atas Darkode. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA