Pengguna bot laju kini dilindungi insurans

Pengguna bot laju kini dilindungi insurans

LABUAN, 4 Jan (Bernama) – Ribuan penumpang yang berulang-alik dari Sipitang, Sabah ke Labuan menggunakan pengangkutan air tradisional iaitu bot laju kini dilindungi insurans perjalanan peribadi.

Ia merupakan yang kedua selepas laluan dari Menumbok, Sabah ke Labuan.

Perlindungan insurans yang berkuat kuasa pada 1 Jan itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sabah menerusi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Pengarahnya, Kapten Abel Ongkunik memberitahu Bernama, pelaksanaan itu disokong sepenuhnya oleh operator bot laju dan merupakan antara usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan penumpang.

“Ini adalah semata-mata untuk melindungi hak dan faedah penumpang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa dalam perjalanan. Kos insurans itu adalah tambahan RM1 kepada kadar tambang sedia ada,” katanya.

Abel berkata perlindungan insurans itu disediakan syarikat insurans entiti kerajaan Sabah, Sabah Progressive Insurance Berhad, syarikat insurans yang menyediakan perlindungan yang sama kepada penumpang yang berulang-alik dari Menumbok ke Labuan.

“Ini merupakan satu lagi kejayaan kerjasama antara jabatan kami dengan syarikat insurans entiti negeri dalam menguatkuasakan perlindungan insurans untuk penumpang yang menggunakan pengangkutan air tradisional dari Sipitang ke Labuan,” katanya.

Sementara itu, Abel berkata Jeti Awam Sementara di Kampung Tanjung Pagar Sipitang untuk membawa dan menurunkan penumpang bagi laluan Sipitang-Labuan telah siap pada November tahun lepas.

“Jabatan kami akan meningkatkan saluran pendekatan ke jeti tersebut dengan memasang ‘bantuan pelayaran sederhana dan minimum’ untuk memberi panduan kepada semua bot laju yang ingin ke jeti untuk berlabuh,” katanya.

Abel berkata jabatannya juga bersedia untuk membantu pihak berkuasa tempatan Labuan mengenai keperluan perlindungan insurans bagi penumpang yang berlepas dari Labuan ke tanah besar Sabah, melalui jeti Menumbok dan Sipitang.

“Lembaga Penasihat Labuan dan Perbadanan Labuan telah diberi taklimat berhubung perkara ini pada suku ketiga dan keempat tahun lepas,” katanya.