Pengguna pasaran matang akan memiliki 3-4 peranti menjelang 2018

Pengguna pasaran matang akan memiliki 3-4 peranti menjelang 2018

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Pengguna dijangka akan menambah lebih banyak peranti untuk kegunaan peribadi mereka dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding menggabungkannya dalam satu alat, kata Gartner, Inc.

Gartner, yang merupakan sebuah syarikat penyelidikan dan konsultan antarabangsa dalam teknologi maklumat berkata, menjelang 2018, seorang pengguna dalam pasaran matang akan memiliki lebih daripada tiga peranti peribadi.

“Gartner menganggarkan pada 2016, asas peranti yang dipasang akan berjumlah 7.8 bilion unit (termasuk peranti yang dipakai sebagai aksesori, telefon, komputer tablet dan komputer peribadi) dan dijangka mencapai 8.3 bilion unit pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Penyelidikannya, Anshul Gupta berkata : “Gabungan penggunaan teknologi yang tinggi, ketersediaan rangkaian yang lebih pantas dan keperluan membuat keputusan semakin bergantung kepada maklumat masa sebenar, sudah pasti akan membuka lebih banyak penggunaan peranti bagi setiap pengguna.

“Gartner menjangkakan pengguna pasaran matang akan menggunakan tiga hingga empat peranti peribadi yang terdiri daripada gabungan peranti utama dan khusus.

Peranti utama termasuk telefon pintar, komputer tablet, peranti dua dalam satu dan komputer riba, ini semua akan menyumbang kepada lebih daripada dua peranti untuk setiap seorang pada bila-bila masa, kata Gartner.

Peranti khusus terdiri daripada peranti yang dipakai sebagai aksesori, jam tangan, gelang kesihatan, cermin mata pintar dan peranti jenis baharu yang mampu berhubung seperti kad pintar, e-reader dan kamera mudah alih, katanya. – Bernama