Pengguna sistem perbankan Islam jangan keliru

Pengguna sistem perbankan Islam jangan keliru

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) – Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia atau Association of Islamic Banking Institutions (AIBIM) menegaskan bahawa kenyataan perbankan Islam menindas pengguna adalah tidak tepat.

Kenyataan tidak berasas ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan serta boleh mengancam reputasi dan keyakinan terhadap sistem kewangan Islam negara, pertubuhan itu berkata dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini.

AIBIM berkata kenyataan bahawa pelanggan institusi kewangan Islam ditindas melalui terma dan syarat kontrak yang berat sebelah adalah tidak wajar.

Ini adalah kerana berdasarkan peruntukan Akta Kontrak serta garispanduan yang dikeluarkan oleh pihak pengawal selia, pindaan kepada terma dan syarat perjanjian tidak boleh dilakukan dengan sewenangnya tanpa persetujuan kedua pihak.

AIBIM menyarankan pengguna produk kewangan Islam supaya peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka untuk memastikan mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan oleh pihak institusi kewangan Islam.

Para pelanggan dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat dan penjelasan dari institusi kewangan dan juga dari AIBIM.

“Kami menyambut baik sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk memartabatkan hak penguna perkhidmatan kewangan. Namun ianya perlu dilaksanakan melalui pendekatan yang membina,” kata Presiden, AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

AIBIM ditubuhkan pada tahun 1995 untuk memartabatakan sistem perbankan Islam serta mempromosi dan mewakili kepentingan 25 ahli-ahlinya.