Penggunaan Bahasa Melayu yang betul, benar perlu diutamakan

Penggunaan Bahasa Melayu yang betul, benar perlu diutamakan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANADAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Melihat persekitaran yang kompetitif, tekanan perubahan dan tuntutan dinamik yang beradaptasi dengan kemodenan telah menjana perubahan gaya komunikasi generasi hingga bahasa ibunda yang merupakan komponen budaya kurang diberi keutamaan.

Dalam perkara ini, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pusaka, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus berusaha melaksanakan tugas teras yang menjurus kepada pembinaan dan pengembangan Bahasa Melayu yang antaranya meneruskan penyelidikan kebahasaan bagi tujuan pembentukan istilah dan perkamusan kosa kata tempatan.

Di samping, DBP juga terus aktif memberikan khidmat kebahasaan di jabatan kerajaan seperti Kursus Sistem Ejaan Bahasa Melayu dan Asas Tatabahasa Bahasa Melayu serta bimbingan terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan bimbingan sistem tulisan dan seni khat jawi, tambah beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2016 yang berlangsung di DBP, Berakas, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Yang Berhormat Pehin merasmikan buku Mari Makan.
Yang Berhormat Pehin merasmikan buku Mari Makan.
Salah seorang pelajar cemerlang menerima cenderamata mereka yang disampaikan oleh tetamu ke-hormat majlis.
Salah seorang pelajar cemerlang menerima cenderamata mereka yang disampaikan oleh tetamu ke-hormat majlis.

Dalam ucapannya itu, Hajah Nortijah turut menekankan bahawa bahasa merupakan unsur penting kebudayaan dan ketamadunan bangsa dan dalam konteks tersebut, kefahaman dan sikap keterbukaan perlu menunjangi apa juga pelaksana program, keterampilan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan benar perlu diutamakan.

“Kesedaran kerajaan akan keutamaan Bahasa Melayu jelas hingga semua urusan pentadbiran terlaksana melalui komunikasi asasnya dipraktikkan, baik dalam wacana lisan atau dalam tulisan dan sebagainya.

“Pada dasarnya kita berpuas hati dengan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini dalam berdepan dengan cabaran dunia moden tapi perlu terus berusaha untuk memastikan kelangsungan penggunaan Bahasa Melayu sebagi penggerak jentera pentadbiran dan masyarakat.”

Bukan setakat itu, ujar beliau lagi, perlunya untuk terus memiliki iltizam tinggi untuk mematuhi peraturan penggunaan Bahasa Melayu yang sedia ada terutama mengenai penamaan syarikat, penamaan bangunan, pengiklanan, dokumen dan sebagainya.

Pada majlis pelancaran berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan perasmian buku Mari Makan dan menyampaikan cenderamata kepada pelajar cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu peringkat ‘O’ dan ‘A’ serta menyerahkan buku Mari Makan kepada pengusaha restoran yang terpilih.

ARTIKEL YANG SAMA