Penggunaan peranti elektronik perlu ada hadnya

“DOKTOR, suruh anak saya berhenti melihat skrin telefon dengan kerap, dia langsung tidak mendengar arahan saya” atau “Adakah televisyen merosakkan mata anak saya?”. Ini antara situasi yang dihadapi ramai ibu bapa terhadap anak mereka yang terlalu leka dan banyak menghabiskan banyak masa dengan gajet.

Ramai kanak-kanak hari ini memiliki atau mempunyai akses kepada peranti elektronik yang diperkenalkan kepada mereka sejak awal usia daripada telefon pintar, tablet, komputer dan konsol permainan mudah alih hinggalah televisyen.

Bertentangan dengan kebimbangan popular orang ramai, radiasi atau cahaya gelombang panjang biru dari skrin digital sebenarnya tidak menunjukkan bukti ia merosakkan mata manusia.

Penyelidik di United Kingdom (UK) baru-baru ini melaporkan kebanyakan peranti memancarkan amat kurang jenis cahaya ini berbanding langit biru yang cerah dan menyimpulkan tiada kebimbangan kesihatan awam walaupun dengan melihat skrin terlalu lama.

Walaupun tidak menyebabkan kecederaan mata serius, masa skrin yang berlebihan mempunyai beberapa kesan negatif.

Antara garis pandu yang dicadangkan oleh Persatuan Pediatrik Amerika untuk ibu bapa dengan mengambil kira masa dan kualiti penggunaannya adalah dengan merancang masa bebas media bersama-sama, seperti makan malam dan membuat peraturan untuk lokasi bebas media di rumah, misalnya bilik tidur. – Gambar hiasan

Sewaktu menatap skrin, kerdipan mata yang menjadikan mata lembap dan selesa akan berkurangan. Kebanyakan kita akan mengalami keletihan, mata merah, kabur atau ketidakselesaan selepas menatap skrin digital secara berterusan.

Kanak-kanak yang meluangkan lebih banyak masa menggunakan telefon pintar dan kurang masa di luar rumah lebih mudah mengalami tanda mata kering.

Konsentrasi berpanjangan pada jarak dekat membuatkan otot mata kekejangan dan tidak dapat berehat sepenuhnya, menyebabkan penglihatan jauh keluar daripada fokus.

Terdapat kanak-kanak mengalami masalah penglihatan kabur selepas berjam-jam bermain permainan dalam talian, selalunya hingga larut malam.

Sama seperti otot yang penat pulih selepas maraton, gejala berkaitan ketegangan mata secara amnya diselesaikan tanpa sebarang akibat yang berkekalan selepas aktiviti itu dihentikan.

Jarang sekali penggunaan berlebihan telefon pintar boleh menyebabkan mata juling secara tiba-tiba. Satu laporan dari Korea menggambarkan 12 kanak-kanak yang terjejas selepas menggunakan telefon pintar selama empat ke lapan jam setiap hari untuk sekurang-kurangnya empat bulan; sembilan orang pulih dengan berpantang penuh (daripada skrin) manakala tiga lagi memerlukan pembedahan pembetulan.

Masalah akan menjadi lebih buruk jika menggunakan gajet berskrin kecil dan melihatnya dengan jarak kerja yang lebih dekat. Contohnya telefon pintar menyebabkan lebih banyak gejala daripada televisyen.

Untuk mengurangkan ketegangan mata, alihkan pandangan daripada skrin setiap 20 ke 30 minit dan lihat jauh selama 30 saat. Ini juga membantu aktiviti melihat dalam jarak dekat lain seperti membaca.

Waktu skrin yang berlebihan juga tidak baik untuk mata secara tidak langsung, dengan membiarkan kanak-kanak dalam rumah dan mengurangkan masa di luar.

Kita tahu ramai kanak-kanak yang meluangkan lebih banyak masa di luar rumah kurang cenderung untuk mengalami miopia (rabun jauh) dan kurang berkemungkinan memburukkan keadaan apabila ia terjadi.

Peranti pintar dan media dalam talian adalah teknologi yang berkesan untuk pendidikan kerana ia menyediakan kanak-kanak dengan alat pembelajaran yang berfaedah apabila digunakan secara bijak.

Bagaimanapun, banyak pakar memberi amaran corak penggunaan tidak sihat dan pendedahan media sosial yang tidak dipantau boleh membahayakan perkembangan psikologi dan sosial serta membahayakan keselamatan diri kanak-kanak.

Masa skrin rekreasi dan ketagihan gajet yang tidak terkawal juga dikaitkan dengan jarak perhatian yang lebih pendek, lambat bertutur, kemahiran sosial yang kurang baik, gangguan tidur, prestasi akademik yang rendah, masalah obesiti, masalah tingkah laku serta pelbagai kelakuan ketagihan yang menjejaskan masa depan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang meluangkan lebih banyak masa menggunakan telefon pintar dan kurang meluangkan masa di luar rumah lebih mudah mengalami tanda mata kering. Satu laporan dari Korea menunjukkan 12 kanak-kanak terjejas pandangan mereka selepas menggunakan telefon pintar selama empat ke lapan jam setiap hari dalam masa kira-kira empat bulan – Gambar hiasan
Untuk mengurangkan ketegangan mata, alihkan pandangan daripada skrin setiap 20 ke 30 minit dan lihat jauh selama 30 saat. Ini juga membantu aktiviti melihat dalam jarak dekat lain seperti membaca. – Gambar hiasan

Kanak-kanak juga berisiko untuk berdepan buli siber, ‘grooming’ dan radikalisasi melalui media sosial yang boleh mengubah kehidupan mereka.

Panduan untuk ibu bapa

Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengawal masa skrin mereka sendiri untuk mempengaruhi anak dengan berkesan. Lihat di sekeliling anda contohnya di restoran, akan ada keluarga yang duduk semeja tetapi tidak bercakap kerana masing-masing sibuk dengan gajet sendiri.

Malah anak damit di kerusi kanak-kanak memiliki gajet sendiri yang diberi ibu bapa sebagai alat untuk mengelak si anak membuat bising.

Selepas dibekalkan dengan peranti ini sejak kecil dan menjadi tabiat maka tidak hairanlah apabila kanak-kanak selepas itu ‘tidak mendengar kata’.

Persatuan Pediatrik Amerika menggariskan cadangan untuk ibu bapa, mengambil kira masa dan kualiti penggunaan:

– Kanak-kanak di bawah 18 bulan: Elakkan media berdasarkan skrin kecuali perbualan video.

– 18 hingga 24 bulan: Ibu bapa yang ingin memperkenalkan media digital perlu memilih program berkualiti tinggi dan menonton bersama anak untuk membantu memahami apa yang dilihat.

– Dua hingga lima tahun: Masa skrin dihadkan kepada sejam sehari dengan program berkualiti tinggi dan tonton bersama anak untuk membantu mereka memahami dan menerapkan apa yang dilihat.

– Enam tahun ke atas: Tetapkan had konsisten pada masa yang diperuntukkan menggunakan media dan jenis media. Pastikan masa skrin tidak mengambil tempat aktiviti lain yang penting untuk kesihatan.

– Masa skrin hiburan dihadkan kurang dari satu hingga dua jam sehari. Untuk kanak-kanak di bawah dua tahun, tidak digalakkan pendedahan media skrin.

– Rancang masa bebas media bersama-sama, seperti makan malam dan membuat peraturan untuk lokasi bebas media di rumah, misalnya bilik tidur.

– Berkomunikasi secara berterusan mengenai keselamatan dalam talian.

– Ibu bapa mungkin mendapati aplikasi kawalan yang berguna untuk mengawal masa skrin kanak-kanak, seperti OurPact, Screenlimit dan Screentime.

– Ibu bapa perlu menggalakkan aktiviti dan permainan sebenar yang menyeronokkan, bukan hanya menjaringkan gol maya serta mengetepikan masa berkualiti untuk aktiviti keluarga.

Melalui amalan pendekatan yang bijak, ibu bapa dapat membantu anak memperoleh semua manfaat masa skrin yang sihat dan perkembangan menyeluruh. – Agensi