Penggunaan tenaga China Okt susut

Penggunaan tenaga China Okt susut

BEIJING, 16 Nov (Bernama) – Penggunaan tenaga elektrik China, barometer utama aktiviti ekonomi, susut 0.2 peratus kepada 449.1 bilion kilowatt jam (kwh) pada Oktober, demikian menurut agensi berita Xinhua hari ini.

Bagi 10 bulan pertama, penggunaan tenaga meningkat 0.7 peratus, daripada setahun sebelum itu, kepada 4.58 trilion kwh, menurut agensi itu yang memetik data yang dikeluarkan oleh Pengurusan Tenaga Negara (NEA).

Menurutnya, penggunaan elektrik pada Oktober dipengaruhi terutamanya oleh penurunan berterusan penggunaan tenaga oleh industri pelogaman dan bahan pembinaan, di samping yang lain.

Keluaran industri nilai-tambah China bagi sektor elektrik, pemanasan, gas dan air turun 0.3 peratus pada Oktober manakala semasa September ia meningkat 0.7 peratus.

Menurut NEA, penggunaan tenaga elektrik dalam sektor perkhidmatan meningkat 7.1 peratus bagi tempoh 10 bulan pertama, sektor pertanian pula mencatat kenaikan tiga peratus manakala sektor industri susut 1.1 peratus daripada setahun yang lepas.

Kadar yang berbeza itu mencerminkan perubahan positif dalam struktur ekonomi China memadangkan penggunaan tenaga oleh sektor perkhidmatan dilihat akan melebihi sektor industri, menurutnya.

ARTIKEL YANG SAMA