Penghantaran minyak pertama dari pelabuhan Libya Ras Lanouf

Penghantaran minyak pertama dari pelabuhan Libya Ras Lanouf

BENGHAZI, Libya, 21 Sept – Sebuah kapal tangki minyak bertolak dari pelabuhan Libya Ras Lanouf ke Itali semalam, kata pegawai, hantaran pertama sejak pertempuran meletus berhubung kawalan “minyak bulan sabit” dua tahun lalu.

Minyak adalah aset utama Libya, dan pentadbiran pesaing telah berusaha untuk mengawal kekayaan minyak dan wilayahnya sejak pemberontakan 2011 yang mengguling diktator Muammar Gaddafi dan menjerumus negara kepada keadaan kelam-kabut.

“Kapal Seadelta dengan bendera Malta baru sahaja bertolak dari pelabuhan Ras Lanouf dengan 776,000 tong minyak, ke Itali. Ia adalah hantaran minyak pertama dari pelabuhan Ras Lanouf sejak November 2014,” kata Omran el-Fitouri, penyelaras eksport minyak di pelabuhan.

Hantaran juga yang pertama meninggalkan mana-mana satu daripada empat pelabuhan di kawasan itu sejak mereka dirampas oleh pemimpin tentera Khalifa Haftar pada minggu lalu. Tenteranya menyerah pelabuhan kepada Korporasi Minyak Nasional (NOC), yang berkata eksport minyak mentah akan diteruskan “dengan serta-merta” dari Ras Lanouf dan Zuwaytina.

NOC berkata ia setia kepada Kerajaan Perjanjian Nasional (GNA) yang berpangkalan di Tripoli, tetapi juga kepada parlimen saingan yang berpangkalan di timur yang menyokong tentera Haftar dan enggan memberikan GNA undi percayanya.

Pada Ahad, pejuang yang setia dengan kerajaan perpaduan sokongan PBB melancarkan satu serangan yang bertujuan menawan semula pelabuhan minyak di timur, tetapi ditangkis oleh tentera Haftar. Pertempuran itu memaksa kapal tangki berpatah balik ke laut untuk menyelamatkan diri, meninggalkan rancangan untuk memunggah minyak mentah di Ras Lanouf.

Pelabuhan lain di kawasan bulan sabit itu telahpun beroperasi berselang-seli dalam beberapa tahun ini, namun jika kemajuan di Ras Lanouf – salah satu pelabuhan terbesar Libya – dikekalkan, ia mungkin memberikan sokongan kepada status quo selepas pergelutan kawalan.

Hantaran terbaru juga mungkin membantu meredakan krisis wang tunai untuk bank Libya yang amat memerlukan wang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA