Pengharaman masuk Nurul Izzah perlu jadi pengajaran

Pengharaman masuk Nurul Izzah perlu jadi pengajaran

TAWAU, 27 Nov (Bernama) – Tindakan melarang dua Naib Presiden PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki Sabah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mana-mana individu atau pihak yang tidak menghormati sensitiviti rakyat di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata ia juga wajar dijadikan pengajaran kepada rakyat agar tidak mempunyai niat untuk bersekongkol dengan pihak yang menceroboh kedaulatan Sabah. “Tindakan bertemu dengan puak pengganas yang mengaku sebagai ‘Kesultanan Sulu’ dan pernah menceroboh Sabah itu sama sekali tidak dapat dimaafkan oleh penduduk Sabah.

“Tindakan dua pemimpin PKR ini dilihat seperti tidak mementingkan kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus 1Azam yang disertai 25 peserta dari Parlimen Tawau dan Kalabakan, di sini Jumaat.

Semalam, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul khas yang melarang dua pemimpin pembangkang itu daripada memasuki Sabah berikutan pertemuan mereka dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan kepada bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu.

Usul yang dibentangkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan disokong Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman itu juga mahu pihak berkuasa menyiasat dua pemimpin itu dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.