Penghargaan bagi warga filem Waris

Penghargaan bagi warga filem Waris

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Bagi menghargai warga yang terlibat menjayakan filem Waris yang dihasilkan oleh anak tempatan, majlis penghargaan telah diadakan di Dewan Riadah, Pusat Belia, di sini, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhd Suffian bin Haji Bungsu yang juga berkesudian menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja, para pelakon, pengamal media dari Malaysia.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada pelakon jemputan, Dato Jalaluddin Hassan yang disempurnakan oleh Pengurus Krock Studio, Kroll D’Hask.

Dengan penyerahan cenderahati tersebut maka album solo Harisya Hamzah selaku penyanyi lagu tema filem Waris juga dilancarkan oleh Datuk Jalaluddin Hassan.

Terdahulu, Penulis Skrip/Pengarah filem tersebut, Haji Sapami bin Abdullah dalam ucapannya antara lain menceritakan pengalaman dan cabaran sepanjang pembikinan filem tersebut.

Haji Muhd Suffian (tengah) bersama Datuk Jalaluddin Hassan semasa menghadiri majlis itu.
Haji Muhd Suffian (tengah) bersama Datuk Jalaluddin Hassan semasa menghadiri majlis itu.
Barisan pelakon begambar ramai bersama tetamu kehormat.
Barisan pelakon begambar ramai bersama tetamu kehormat.

Sementara itu, Dato Jalaluddin Hassan pula dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada Bego Hazirul Production yang mengundang beliau berlakon dalam filem tempatan itu.

“Saya suka jalan cerita filem Waris, tapi sayangnya ia dibuat secara tergesa-gesa walhal dalam menghasilkan filem yang terbaik memerlukan masa yang panjang,” ulasnya mengenai filem berkenaan.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa anak-anak tempatan Brunei memiliki bakat yang terpendam dan perlu diasah untuk menjadi pelakon yang lebih baik. “Jadikan filem ini sebagai satu pengajaran untuk kita terus menghasilkan filem yang lebih baik lagi. Apa saja kelemahan dapat diperbaiki dan diatasi lagi,” ujar pelakon Malaysia yang tidak asing lagi itu.

ARTIKEL YANG SAMA