Penghargaan buat guru

Penghargaan buat guru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Sambutan Hari Guru terus diraikan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada jasa bakti guru-guru yang tekun melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk mendidik generasi pelapis menjadi orang berpendidikan dan berakhlak mulia.

Sehubungan dengan itu, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Pelajar-pelajar PTE Meragang Sempena Sambutan Hari Guru 2015 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, PTE Meragang, hari ini.

Majlis khatam itu disertai oleh seramai 73 orang pelajar lelaki dan 93 orang pelajar perempuan yang mana majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh salah seorang guru, Awang Shahrul Aminan bin Haji Mohiddin.

Majlis itu turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa para pelajar serta guru-guru PTE berkenaan.

Pengetua PTE Meragang, Pengiran Hajah Maimunah binti Pengiran Haji Osman dalam kata alu-aluannya berkata tema Sambutan Hari Guru 2015 iaitu ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’ menjelaskan bahawa pendidikan berkualiti bergantung pada guru yang merupakan tonggak penting dan ejen perubahan sosial.

Pelajar-pelajar lelaki dan perempuan yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran itu.
Pelajar-pelajar lelaki dan perempuan yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran itu.

Beliau menekankan, sebagai pendidik, guru perlu berilmu dan memiliki sikap sosial yang baik, berintegriti dan berakhlak mulia.

“Dalam melaksanakan tugas, guru hendaklah sentiasa menjunjung profesionalisme keguruan, dedikasi, titih, lutanan, ramah dan patriotik untuk melahirkan bangsa yang baik, cerdas dan cemerlang.”

Pengiran Hajah Maimunah dalam ucapannya turut menyatakan bahawa sekolah berkenaan akan sentiasa memberi sokongan dan menerima dengan baik dan positif serta bekerjasama dalam melaksanakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan iaitu langkah kementerian untuk menilai kompetensi guru melalui Penilaian Prestasi Guru.

Beliau menyatakan harapan dengan inisiatif itu, sebagai guru akan lebih mengetahui sejauh mana tahap kebolehan mereka dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

“Kita sebagai pendidik perlu menjadi pemacu motivasi dan inspirasi sehingga berbentuknya modal insan yang produktif, progresif dan siap siaga untuk merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.”

Beliau juga menyarankan supaya semua guru akan terus bersatu dan bekerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat membina sebuah negara bangsa yang maju dan bermartabat.

Dalam kesempatan itu, beliau juga melahirkan harapan agar semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan GCE Peringkat A dan AS akan dapat menjalani dan menghadapi peperiksaan dengan tenang, mudah dan lancar dalam menjawab soalan peperiksaan.

“Semoga semua pelajar beroleh kejayaan dan kecemerlangan serta dapat meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dengan itu fokuskanlah diri ke arah pembelajaran, peperiksaan dan jangan banyak membuang waktu.”

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Hari Guru oleh Pelajar Enam Atas A24, Awang Mohammad Hajib Sarhan bin Awang Mohamad Harkani dan diikuti dengan bacaan khatam beramai-ramai serta bacaan Takhtim sebelum bacaan Doa Khatam oleh Pelajar Enam Atas A24, Awang Mohammad Nazirul Azizan bin Bahren.

ARTIKEL YANG SAMA