Penghargaan untuk atlet-atlet negara

Penghargaan untuk atlet-atlet negara

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim .Y.H.

Gambar oleh Sim. Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Atlet-atlet negara yang mencapai kejayaan sekali gus menaikkan nama negara dalam bidang sukan telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) yang berlangsung di Dewan Digadong Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

Pada majlis itu, seramai 26 orang atlet negara daripada lima persatuan sukan kebangsaan bersama lima orang jurulatih dan dua orang penolong jurulatih telah menerima Ganjaran Kemenangan SPKS kerana telah berjaya dan meraih pingat di Sukan SEA ke-28 di Singapura pada 5 hingga 16 Jun 2015.

Hadir menyempurnakan penganugerahan ganjaran berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Skim ini adalah sebagai galakan kepada atlet untuk mencapai kejayaan dengan menjalani latihan bersungguh-sungguh supaya dapat mengekalkan atau mencapai prestasi lebih tinggi di sukan serantau dan antarabangsa.

Ganjaran berupa wang tunai ini diberikan kepada atlet-atlet yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan masing-masing di peringkat serantau dan antarabangsa, manakala itu, skim ganjaran ini juga diberikan kepada jurulatih sukan kerana penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan dalam latihan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai dengan penerima SPKS dan pegawai-pegawai kanan KKBS.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai dengan penerima SPKS dan pegawai-pegawai kanan KKBS.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan ganjaran kemenangan kepada atlet Wusyu, Lee Ying Shi.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan ganjaran kemenangan kepada atlet Wusyu, Lee Ying Shi.

Penerima ganjaran SPKS ini terdiri daripada atlet-atlet dalam sukan tae kwan do, wusyu, takraw, pencak silat dan bola jaring.

Terdahulu, majlis berkenaan telah dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Haji Abdul Halim bin Haji Fuad.

Pada majlis itu, wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang penerima ganjaran iaitu Dayang Nurulain binti Mohd Jaafar, atlet sukan Tae kwan do yang berjaya mendapat pingat perak dalam acara Wanita di Bawah Berat Badan 62 kKilogram dan telah menerima ganjaran sebanyak $3,000.

Beliau yang meminati bidang sukan ini sejak kecil lagi terus mendapat sokongan daripada jurulatih dan kawan-kawan untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan dalam sukan yang akan datang.

“Selepas ini, mungkin saya akan berehat buat seketika untuk memberi tumpuan dalam bidang kerjaya selain memberi peluang kepada pelapis baru dalam sukan Tae kwan do,” jelasnya. Beliau seterusnya melahirkan harapan supaya berpeluang untuk menyertai Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Turut hadir di majlis itu ialah setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

ARTIKEL YANG SAMA