Penghayatan Al-Quran yang sebenar

Penghayatan Al-Quran yang sebenar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Ogos – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan Bersama Pemahaman sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun Peringkat Daerah Belait telah diadakan di Dewan Masjid Muhammad Jamalul Alam, di sini, hari ini.

Menjuarai kategori kanak-kanak lelaki ialah Awang Muhammad Nur Rahi bin Abdul Sufian, kategori kanak-kanak perempuan pula dijuarai oleh Dayang Siti Fathiah binti Jasmin, juara kategori remaja lelaki disandang oleh Awang Muhammad Shahriful Iqal bin Awang Abdul Sufri, kategori remaja perempuan pula telah dijuarai oleh Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin dan kategori dewasa perempuan dimenangi oleh Dayang Norzirwatul Fadhilah binti Haji Puteh.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

Pertandingan yang telah diadakan di kediaman rasmi Pegawai Daerah Belait pada Julai lalu itu telah disertai oleh 40 orang peserta.

Pemenang pertandingan bagi setiap kategori akan mewakili Daerah Belait, ke Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan Bersama Pemahaman Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun peringkat kebangsaan yang akan diadakan kemudian di Daerah Tutong.

Awang Hasmiron menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Dewasa Perempuan, Dayang Norzirwatul Fadhilah.
Awang Hasmiron menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Dewasa Perempuan, Dayang Norzirwatul Fadhilah.

Ia merupakan acara sampingan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, selain untuk menanamkan rasa cinta kepada Al-Quran serta untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan harian.

Pertandingan juga bertujuan untuk menuju penghayatan Al-Quran yang sebenar dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung di dalamnya dan juga bagi mendokong hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Ia juga dapat memberikan kesempatan kepada rakyat dan penduduk khususnya kanak-kanak, ahli jawatankuasa takmir masjid serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung untuk sama-sama terlibat dalam meraikan dan membesarkan hari-hari kebesaran negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung Daerah Belait,serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA