Penghijrah buat bantahan di sempadan Greece-Macedonia

Penghijrah buat bantahan di sempadan Greece-Macedonia

IDOMENI, Greece, 29 Feb (AFP) – Penghijrah yang terkandas berbaring bersama anak-anak mereka di landasan kereta api di sempadan utara Greece semalam, menuntut dibenarkan meneruskan perjalanan mereka, tatkala Jerman mengingatkan bahawa Eropah tidak boleh membiarkan negara itu “terjerumus dalam huru-hara.”

Canselor Jerman Angela Merkel sedang bercakap tatkala Athens berkata jumlah penghijrah yang terperangkap di Greece mungkin bertambah tiga kali ganda selepas negara Balkan mengumumkan had maksimum harian ke atas ketibaan penghijrah.

Ketegangan di antara negara Eropah yang paling teruk terjejas oleh krisis penghijrah sedang meningkat, dengan Canselor Austria Werner Faymann menuduh Greece “bertindak seperti agensi perjalanan” untuk penghijrah yang berharap dapat memulakan kehidupan baru di tempat lain di Eropah.

“Kami menganggarkan di negara kami jumlah mereka yang terperangkap adalah daripada 50,000 hingga 70,000 orang pada bulan depan,” kata Menteri Penghijrahan Greece Yiannis Mouzalas dalam satu temu bual dengan Mega TV, meningkat daripada 22,000 sekarang.

Para penghijrah membuat bantahan mencuba untuk memecahkan sempadan untuk pergi ke Macedonia. – Reuters
Para penghijrah membuat bantahan mencuba untuk memecahkan sempadan untuk pergi ke Macedonia. – Reuters

Merkel berkata Eropah tidak boleh membenarkan Greece terjerumus dalam keadaan huru-hara dengan menutup sempadan negara kepada pelarian, beberapa bulan selepas jaminan keluar antarabangsa ketiga Athens.

“Adakah anda percaya kesemua negara euro berjuang untuk mengekal Greece dalam zon euro pada tahun lalu dan kami adalah yang paling tegas boleh membenarkan Greece terjerumus dalam huru-hara satu tahun kemudian?” kata beliau dalam temu bual dengan televisyen ARD.

Kira-kira 6,500 penghijrah masih terkandas dalam kem di Idomeni di sempadan Greece dengan Macedonia, gagal meneruskan perjalanan selepas Macedonia dan Serbia, serta anggota EU Slovenia dan Croatia, mengenakan had harian sebanyak 580 penghijrah.

Beberapa ratus penghijrah mengadakan bantahan di sempadan semalam, duduk dan baring bersama anak mereka di landasan kereta api.

Ada di antara mereka memegang poster bertulis tangan yang berbunyi “Buka sempadan, tidak ada makanan” dan “Kami adalah manusia, bukan haiwan.”