Penghijrah catat rekod

Penghijrah catat rekod

ROSZKE, Hungary, 10 Sept – Bilangan penghijrah yang masuk menerusi Balkan menuju ke Hungary hari ini telah mencatat rekod, memaksa Austria untuk menangguhkan perkhidmatan kereta api rentas sempadan ketika Eropah masih belum bersependapat berhubung bagaimana untuk menangani krisis pelarian itu.

Jerman sendiri dibidas negara-negara jiran timur berhubung kesanggupannya untuk membawa masuk pelarian yang memberi amaran bahawa pelan EU untuk mengagihkan 160,000 ketibaan baru di kalangan negara anggota itu seperti hanya ‘setitik di lautan dalam’.

Polis Hungary mengatakan sekitar 3,321 orang telah memasuki negara itu hanya dalam masa 24 jam, berebut-rebut untuk menyeberangi sebelum undang-undang ketat anti-penghijrah berkuat kuasa, apabila pagar baru yang dikenakan siap dibina, dan cuaca bertambah buruk.

Di seberang sempadan di Serbia, televisyen negara melaporkan telah mencatat 5,000 orang tiba di sempadan.

Jauh ke selatan, sempadan Macedonia dengan Greece, jurnalis AFP menyaksikan kira-kira 50 buah bas telah mengangkut sekitar 2,500 penghijrah dan tiga kereta api dipenuhi dengan 3,000 orang berlepas dari bandar Gevgelija.

Seorang penghijrah wanita menggendong anak-anaknya ketika berjalan di kampung Miratovac berhampiran bandar Presevo selatan Serbia pada 10 September. – AFP
Seorang penghijrah wanita menggendong anak-anaknya ketika berjalan di kampung Miratovac berhampiran bandar Presevo selatan Serbia pada 10 September. – AFP

Agensi pelarian PBB pada Selasa memberi amaran bahawa sekitar 42,000 penghijrah dijangka akan memasuki Hungary menjelang minggu hadapan.

Kebanyakannya telah menempuh perjalanan berbahaya di lautan menyeberangi Mediteranean – mereka itu kebanyakannya lari daripada perang dan kemiskinan yang berlaku di Syria, Afghanistan atau Pakistan dan berharap tiba di Jerman.

Sebaik masuk ke Hungary, polis bergelut untuk mengawal dan mendaftarkan ketibaan baru yang kebanyakannya bergegas menaiki kereta api dan bas menuju ke sempadan dengan Austria.

Beratus-ratus lagi telah memecah masuk ke barisan kawalan polis dalam beberapa hari kebelakangan berhampiran sempadan kampung Roszke selepas menunggu berjam lamanya untuk menaiki bas. – AFP