Penghijrah lega keluar dari ‘neraka’

LAGOS, 6 Dis – Penghijrah dari Nigeria melahirkan kelegaan mereka setelah kembali ke negara itu dari Libya semalam, dengan menggambarkan sebagai ‘neraka’ bagi keadaan yang sangat teruk di kem tahanan di Libya.

Para pemimpin Afrika mengutuk layanan terhadap penghijrah tanpa izin di Libya, termasuklah penyebaran kekejaman dan penjualan hamba secara terang-terangan.

Sebanyak 144 orang penghijrah telah mendarat pada petang semalam, dan satu lagi penerbangan dijangka mendarat selepas itu, sebagai sebahagian daripada program pemulangan yang kian meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Franklin memberitahu AFP, bahawa dia berasa sangat gembira dapat kembali.

“Gembira kerana dapat kembali, selepas keluar daripada ‘neraka’ di Libya. Saya akan memulakan hidup baru di negara ini,” katanya ketika menunggu untuk diagihkan makanan.

PBB mendesak persetujuan Libya untuk menutup 30 pusat yang menempatkan 15,000 penghijrah, yang mana pusat tersebut telah menghadapi tekanan selepas rakaman video menunjukkan warga Afrika dijual dalam lelongan perhambaan di Libya telah mencetuskan kemarahan dunia.

“Syukur kepada Tuhan,” beritahu seorang lelaki ketika berbaris di lapangan terbang untuk didaftarkan oleh pegawai-pegawai imigresen dan Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA).

Warga Nigeria merupakan penghijrah tanpa izin yang terbesar yang telah membuat perjalanan tanpa izin melalui Laut Mediterannean menuju ke Eropah.

Pemulangan itu bermula kira-kira pada awal tahun lalu, akan tetapi angka tersebut telah meningkat baru-baru ini, dengan hampir 1, 300 dibawa pulang pada November lalu, menurut NEMA. – AFP