Penghijrah maut terkena renjatan elektrik

Penghijrah maut terkena renjatan elektrik

LILLE, Perancis, 18 Sept (AFP) – Seorang penghijrah mati akibat renjatan elektrik kelmarin berhampiran pintu masuk ke Channel Tunnel di Perancis ketika dia cuba untuk menaiki bumbung sebuah kereta api untuk membuat perjalanannya ke England, menurut pegawai.

“Individu itu meninggal dunia selepas dia terkena renjatan elektrik ketika cuba untuk menaiki gerabak,” menurut jurucakap pihak berkuasa tempatan di utara Perancis kepada AFP.

Penghijrah itu, yang dirasakan seorang warga Syria, ditemui mati sejurus tengah malam kelmarin.

Para pegawai mengatakan ia adalah kematian ke-10 penghijrah di dalam atau berhampiran terowong itu sejak lewat Jun.

Seorang jurucakap bagi Eurotunnel, yang mengoperasikan rangkaian menyeberang Channel, berkata: “Kami mengesali insiden ini yang membuktikan sekali lagi bahawa sebarang percubaan untuk menyeberangi Channel secara haram akan membawa risiko yang besar.”

Sekitar 3,000 penghijrah terutamanya dari Afrika, Afghanistan dan Syria berkhemah di Calais berhampiran pintu masuk Channel Tunnel.

Mereka sering membuat percubaan berulang kali untuk tiba di England, dengan memasuki terowong atau menaiki atas lori.

ARTIKEL YANG SAMA