Penghijrahan diri ke arah yang lebih baik

Penghijrahan diri ke arah yang lebih baik

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Hijrah bukan sahaja membawa maksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi ia juga bermaksud berubah daripada buruk kepada baik, daripada baik kepada lebih baik dan daripada cintakan dunia kepada lebih mencintai akhirat yang abadi.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani @Ahmad semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah dan Majlis Sambutan Hari Guru 2016 KUPU SB.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna KUPU SB itu ialah Pemangku Raes KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam ucapannya itu, Awang Abdul Najib Syazwan juga mengingatkan bakal guru-guru KUPU SB bahawa tugas seorang guru bukan sahaja mengajar tetapi membawa dan membimbing penuntutnya berhijrah daripada cetek pengetahuan kepada seorang penuntut yang berilmu dan mengamalkan ilmunya.

Tekannya lagi, tugas ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan, kerana apa yang bakal dihadapi adalah manusia yang mempunyai perasaan, perangai dan karenahnya tersendiri, oleh itu, mempunyai kriteria yang bertanggungjawab, sabar, penyayang dan semua ini juga adalah berdasarkan keikhlasan dan keimanan.

Majlis dua dalam satu ini merupakan aktiviti tahunan KUPU SB dan pada tahun ini ia dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar KUPU SB.

Objektif majlis adalah untuk menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam. Majlis Sambutan Tahun Hijrah adalah antara sambutan yang diadakan setiap tahun khasnya Negara Brunei Darussalam bagi peringkat negara.

Majlis Awal Tahun Hijrah adalah bagi memperingati peristiwa yang boleh diambil iktibar di dalamnya. Pada tahun ini juga, buat pertama kalinya, KUPU SB mengadakan Sambutan Hari Guru peringkat KUPU SB bagi sama-sama memperingati jasa dan pengorbanan seseorang yang bergelar guru.

Majlis juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan warga KUPU SB.

Majlis dua dalam satu dimeriahkan dengan tayangan video yang bertajuk ‘Perjalanan Hijrah’, persembahan pantomin oleh gabungan kelab teater, kelab pidato umum dan kelab tausyeh.

ARTIKEL YANG SAMA