Penghormatan antarabangsa

Penghormatan antarabangsa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sekali lagi menerima pengiktirafan dan penghormatan antarabangsa apabila buat julung-julung kalinya mempengerusikan Mesyuarat Persatuan Universiti-universiti Islam Asia (AIUA) II hari ini, sempena Hafl Al-Takharruj kelimanya.

Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam ucapan alu-aluan pembukaan mesyuarat mengatakan, UNISSA akan terus bekerjasama dan komited dalam merealisasikan objektif penubuhan persatuan yang dilihat sudah mendapat sambutan menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi Islam Asia dan menghargai penghormatan yang diberikan untuk menyelenggarakan mesyuarat itu.

“Dalam tempoh menjangkau enam bulan penubuhan persatuan ini, lebih 50 buah institusi sudah menjadi anggotanya,” tambah beliau. Beliau seterusnya menjelaskan, antara signifikan mesyuarat ini ialah sebagai medan pertemuan pemimpin universiti Islam yang memberi ruang untuk melontar pandangan, bertukar pendapat, mencambahkan fikiran, membina jaringan seterusnya bekerjasama lebih rapat dalam pelbagai bidang.

Dr. Haji Norarfan seterusnya berharap pegawai utama UNISSA dapat mengambil manfaat dalam kesempatan pertemuan berharga ini. Kekuatan jalinan dan keutuhan ukhuwah yang dibina bersama diharap dapat membantu membangunkan institusi pengajian Islam di rantau Asia ini.

Dr. Haji Norarfan menyampaikan ucapan pada mesyuarat tersebut.
Dr. Haji Norarfan menyampaikan ucapan pada mesyuarat tersebut.

UNISSA, katanya mempunyai harapan tinggi dalam penyertaan persatuan berprestij ini di mana UNISSA dilihat mempunyai prospek masa depan cerah sebagai hab pengajian tinggi Islam dalam bidang tertentu di rantau ini.

Selain itu, sokongan berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kampus baru UNISSA akan dibina di Daerah Temburong di atas tanah seluas 400 hektar.

Menurut beliau, dengan adanya kampus ini, UNISSA akan mengembangkan tawaran program akademik yang merentasi disiplin dan memenuhi keperluan negara dan global.

Sehubungan itu, UNISSA berharap dengan adanya platform AIUA ini, ia akan menjadi pemangkin kepada UNISSA untuk meningkatkan kualiti sistem urus tadbir dan program akademik yang ditawarkan sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Mesyuarat kali ini mencatat sejarah tersendiri dengan perasmian laman sesawang AIUA dan pelancaran Journal of Asia Islamic Higher Institution (JAHI) secara online.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Rektor Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Profesor Dr. Haji Munzir Hitami selaku Presiden AIUA dan Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Perak Tan Sri Profesor Dr. Nordin Kardi selaku Setiausaha AIUA.