Penghormatan terakhir

Penghormatan terakhir

NEW DELHI, 28 Julai (Bernama) – Presiden dan perdana menteri menyertai jutaan rakyat India memberikan penghormatan terakhir kepada Dr Abdul Kalam, “lelaki peluru berpandu”, yang meninggal dunia semalam.

Kerajaan pusat turut mengumumkan hari berkabung secara rasmi selama tujuh hari dan hari ini diisytiharkan sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat negara ini memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah bekas presiden berusia 84 tahun yang meninggal dunia semasa menyampaikan syarahan dan disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat masalah kegagalan jantung akan diterbangkan ke ibu negara New Delhi hari ini dari Guwahati, Assam.

Setakat ini tidak ada pengumuman rasmi mengenai pengebumian beliau dengan media tempatan memetik para pegawai kerajaan bahawa upacara pengebumian negara mungkin diadakan ibu negara atau di kampung halamannya di Rameswaram, Tamil Nadu.

Presiden Pranab Mukherjee menyifatkan pemergian Dr Kalam sebagai kehilangan peribadi yang sangat besar dan akan sentiasa mengingati hubungan lama beliau dengan bekas presiden itu.

Perdana Menteri India meletakkan kalungan bunga hampir dengan jenazah bekas presiden India A.P.J Abdul Kalam yang dibaluti dengan bendera kebangsaan ketika majlis meletakkan kalungan bunga di lapangan terbang New Delhi, India, 28 Julai. Kalam dianggap bapa program misil negara, meninggal dunia pada Isnin d hospital dalam usia 83 tahun, kata seorang doktor. – Reuters
Perdana Menteri India meletakkan kalungan bunga hampir dengan jenazah bekas presiden India A.P.J Abdul Kalam yang dibaluti dengan bendera kebangsaan ketika majlis meletakkan kalungan bunga di lapangan terbang New Delhi, India, 28 Julai. Kalam dianggap bapa program misil negara, meninggal dunia pada Isnin d hospital dalam usia 83 tahun, kata seorang doktor. – Reuters

“Sebagai Presiden India Dr Kalam sangat popular dan dikagumi. Sikap yang mesra, rendah diri dan ringkas menyebabkan beliau disayangi ramai.

“Dr Kalam sangat menyukai kanak-kanak dan sering memberikan inspirasi kepada belia negara ini melalui ucapan motivasi dan berinteraksi secara peribadi,” kata Pranab dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Beliau juga yakin Dr Kalam akan diingati kerana minat mendalam terhadap sains dan inovasi serta sumbangannya sebagai ahli sains, pentadbir, pendidik dan penulis.

Sementara itu, perdana menteri Narendra Modi berkata India bersedih kerana kehilangan seorang ahli sains yang hebat dan juga seorang bekas Presiden yang baik serta personaliti yang memberikan inspirasi.

“Ingatan saya dipenuhi dengan banyak kenangan, begitu banyak interaksi dengan beliau. Amat kagum dengan daya inteleknya, dan banyak belajar daripada beliau,” kata Modi.

Beliau berkata Dr Kalam suka bergaul dengan orang ramai dan menyayangi pelajar dengan detik akhir kehidupan beliau dihabiskan bersama mereka.

Dr Kalam atau Avul Pakir Jainulabdeen Abdul Kalam dilahirkan pada 15 Okt 1931 dalam sebuah keluarga Islam yang miskin di Rameswaram, Tamil Nadu dan telah menghadapi segala kesusahan untuk belajar fizik dan kejuruteraan aeroangkasa.

Selepas menamatkan pengajian di Madras Institute of Technology pada 1960, beliau menyertai Organisasi Penyelidikan Pertahanan dan Pembangunan (DRDO) di mana beliau bertanggungjawab membangunkan teknologi peluru berpandu balistik dan kemudiannya menggerakkan program nuklear dan satelit India.

Dr Kalam, yang membujang sepanjang hayat dan mengamalkan memakan sayur, pernah berkata, sebagaimana kebanyakan pembangunan teknologi yang diterajuinya, beliau sendiri adalah “Buatan India” kerana tidak pernah mendapat pendidikan atau latihan di luar negara.